Pilih Bahasa

Kaamatan Negeri terus meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Seperti setiap tahun penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019, sudah pasti pengunjung bertali arus membanjiri Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) seawal pukul 7 pagi, hari ini.

Pengunjung yang datang bukan sahaja berasal dari sekitar Penampang dan Kota Kinabalu, tetapi juga seluruh negeri serta pelancong luar negara.

Kumpulan The Male Efficient antara yang membuat persembahan pada perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Ada antara mereka mengunjungi dan melihat sendiri keunikan kepelbagaian etnik Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di rumah tradisi.

Ada juga yang berada di dalam dewan Hongkod Koisaan bagi melihat pelbagai persembahan tradisi seperti tarian dan nyanyian lagu-lagu KDM.

Antara persembahan pada perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Sementara itu, ketibaan Timbalan Pengerusi Lima, Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri 2019, Datuk Juil Nuatim pada pukul 9.50 pagi bersama tetamu-tetamu kehormat lain sebagai permulaan acara di dalam dewan berkenaan.

Persembahan-persembahan nyanyian mahupun tarian kebudayaan dimulakan pada pukul 10 pagi.

Antara peserta dari pelbagai kaum menyertai perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Persembahan pembukaan bagi menyambut ketibaan tetamu kehormat dan pengunjung didahului dengan persembahan koir kumpulan The Male Efficient (TME) dengan lagu Sugali Sunsugali & Nogungan Duvanson Medley, Kaamatan Medley first version dan Unduk Ngadau.

Bagi memeriahkan lagi acara, persembahan nyanyian dan tarian yang terpilih dari rumah-rumah tradisi KDCA juga dijalankan iaitu dari rumah tradisi Kuala Penyu, Ranau serta Kota Belud.

Antara peserta dari pelbagai kaum menyerati perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Acara seterusnya adalah nyanyian daripada juara Bontugan Songkotoun 2019 Oswald Sufi, juara Sugandoi Dazanak Roddy Dezlly Roger serta persembahan pemenang tempat keempat dan kelima Sugandoi Kaamataan Negeri 2019 iaitu Presley Petrus dan Joyce Rufina Juanis.

Persembahan diteruskan lagi dengan persembahan tarian tradisi dari rumah-rumah tradisi Beaufort, Keningau dan Pitas.

Antara peserta dari pelbagai kaum menyerati perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Seterusnya, acara berlanjutan dengan penampilan khas seramai 64 peserta Unduk Ngadau Kaamatan Negeri 2019 yang mewakili 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta empat peserta dari KDCA Klang Valley, Pulau Pinang, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan penyertaan julung kali dari Putrajaya.

Selesai majlis di dalam dewan Hongkod Koisaan, tetamu-tetamu kehormat bergerak melawat ke semua rumah tradisi di sekitar Hongkod Koisaan, KDCA sebelum melancarkan pertandingan sukan tradisi.

Acara Migazat Dukug (tarik tali) ketika perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Sementara itu, seperti saban tahun dalam Pesta Kaamatan Negeri 2019, tidak dilupakan pertandingan sukan tradisi yang mana pendaftaran bermula seawal pukul 8 pagi.

Antara pertandingan sukan rakyat separuh akhir yang dilangsungkan adalah seperti mipulos (lawan tangan) dan migazat dukug (tarik tali).

Acara Mipulos (lawan tangan) ketika perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Selain itu, pertandingan akhir bagi sukan rakyat momolositik (melastik), rampanau (kaki hantu atau berjalan menggunakan galah), sipatu tompulalanggoi (terompak gergasi), tumutu (memproses padi) dan monungkava kalabau atau tambadau (menjerat kerbau dengan tali) turut dijalankan. -SabahNewsToday