Pilih Bahasa

Kabinet negeri minta penjelasan Jabatan Imigresen status Kad Burung-Burung dan Sijil Banci minggu depan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kabinet negeri akan mendapatkan penjelasan dari Jabatan Imigresen terlebih dahulu mengenai status sebenar dokumen kad burung-burung serta sijil banci yang bakal diganti dengan Pas Sementara Sabah (PSS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Kabinet negeri dalam mesyuarat mingguan kelmarin meminta Jabatan Imigresen Sabah hadir dalam mesyuarat minggu hadapan “untuk menjawab segala persoalan yang timbul.”

Madius (duduk tengah) bersama dengan para usahawan yang akan menyertai misi perdagangan di Naning, China. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kita ingin mendengar penjelasan mereka tentang status serta kesahihan dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu iaitu kad burung-burung dan surat bancian (yang mana pemegangnya dicadangkan diberi PSS).

“Ini juga merupakan soalan-soalan yang rakyat ingin tahu,” katanya apabila ditemui selepas perjumpaan dengan para usahawan Sabah yang akan menyertai misi perdagangan di Naning, China minggu hadapan, di Wisma Kewangan di sini hari ini.

“Setelah itu barulah kita akan melihat langkah seterusnya mengenai cadangan pengenalan PSS,” katanya Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Sabah.

“Sebenarnya saya pun lebih kurang dengan kamu juga … saya hanya membaca mengenainya di dalam suratkhabar,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Madius yang juga Presiden Upko percaya masih ada masa untuk memperhalusi perkara ini memandangkan PSS hanya akan dikeluarkan pada Jun tahun hadapan.

Pengenalan PSS tahun depan diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan jawatankuasa bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) di sini minggu lalu.

PSS akan menggantikan tiga dokumen lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti Kad Burung-Burung, sijil banci dan kad IMM13.

Menurut beliau, langkah tersebut akan dapat menyelesaikan pelbagai isu selain pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih teratur.

Bagaimanapun, perkara ini mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan parti politik.-SabahNewsToday