Pilih Bahasa

Kabinet Persekutuan baharu digesa terus tumpu pembangunan di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (empat dari kanan) merasmikan majlis membaikpulih bangunan 1Sulaman Platinum Tower. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

SEPANGGAR: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar Kerajaan dengan Kerajaan (GTG).

Beliau berkata perlunya kerjasama tersebut adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan demi kepentingan rakyat di negeri itu.

“Terserah dengan pihak mereka untuk melantik sesiapa yang mereka syorkan, itu hak mereka.

“Harapan kita seperti yang saya nyatakan kerajaan negeri bekerjasama atas dasar GTG kerana kita dalam sebuah negara.

“Oleh itu kalau (Kerajaan Persekutuan) mahu bantuan dari kerajaan negeri kita sedia membantu,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pemulihan semula projek 1Sulaman Platinum Tower, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai barisan Kabinet Persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diumumkan petang tadi.

Mohd Shafie berkata keperluan terhadap kerjasama GTG itu akan memudahkan proses pembangunan sektor perumahan, keselamatan, pelajaran dan kesihatan.

Misalnya, beliau menambah keperluan untuk membina hospital memerlukan tapak manakala pemberian tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Jadi dalam konteks ini, perlu ada kerjasama antara Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri untuk melaksana pembangunan,” ujarnya.

Mengenai program itu, Mohd Shafie berkata sebanyak RM120 juta diperuntukan untuk membaikpulih pembinaan bangunan 1Sulaman Platinum Tower yang terbengkalai sejak 2016.

Beliau memberitahu jumlah peruntukan itu merangkumi projek komersial bernilai RM50 juta dan residential pula RM70 juta dan usaha membaikpulih bangunan itu dirunding bersama oleh pihak pemaju iaitu Fasa Harmoni Sdn Bhd.

“Inisiatif ini baik untuk membolehkan bangunan yang terbengkalai dapat dipulihkan semula sekaligus pembangunan sektor hartanah di Sabah terus disuburkan dan saya yakin pelaksanaan projek ini mampu dijayakan,” katanya. – SabahNewsToday