Pilih Bahasa

KADAMAIAN ADVENTURE RACE 2019 24 OGOS INI

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tiga dari kiri) menerima baju KAR 2019 daripada Pengarah Program Javadius Bollah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai larian Kadamaian Adventure Race (KAR) 2019 yang akan berlangsung di Tamu Taginambur pada 24 Ogos ini.

Setiausaha Penganjur, Esther Toihin berkata larian lasak 10 kilometer (km), 20km dan 60 km yang menawarkan hadiah keseluruhan RM23,820 itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Lelaki dan Wanita Terbuka.

“Tahun ini kami memperkenalkan larian 10km untuk memberi peluang kepada para pelari tempatan yang ingin menyertai acara ini tetapi tidak mampu menyertai larian jarak 20km dan 60km.

“Larian 10km ini adalah untuk para peserta yang baru berjinak-jinak dalam larian trail. Para peserta hanya melalui tiga eko pelancongan iaitu Taginambur, Narinang dan Purak Ogis.  Cabaran yang bakal menanti peserta 20 kilometer pula ialah Bukit Bogung yang terletak di kawasan Narinang dan Purak Ogis.

“Larian sejauh 60km (ultra trail) hampir keseluruhannya melibatkan jalan denai (trail) dan sungai. Para peserta akan melalui 11 kawasan eko pelancongan di beberapa kampung kawasan Kadamaian,” katanya.

Antara laluan yang bakal dilalui oleh peserta KAR 2019. – Gambar SNT/Ihsan KAR

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Esther berkata antara tujuan program itu diadakan ialah memperkenalkan Kota Belud khususnya kawasan Kadamaian sebagai pusat sukan lasak dalam acara marathon, larian santai, larian denai, jarak jauh melalui jalan raya dan juga denai hutan.

“Program ini juga bertujuan untuk membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan komuniti belia selain mempromosikan pusat-pusat pelancongan yang ada di kawasan Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan sambutan orang ramai terhadap penganjuran tahun lalu dan sebelumnya, tahun ini pihak penganjur menyasarkan penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan minat dan trend sukan lasak yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Selain itu penggunaan sistem ‘racematix’ dalam pendaftaran dan ‘timing chip’ juga dapat meningkatkan lagi keyakinan penganjur terhadap penyertaan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, KAR dengan tema ‘Finisher Never Give Up’ turut disertai para pelari luar negara dari Brunei, Indonesia dan Perancis.

Sementara itu, Ewon berkata penganjuran KAR 2019 diyakini dapat membantu mempromosikan destinasi pelancongan luar bandar, terutama eko pelancongan di kawasan Kadamaian terutama di sepanjang laluan larian terbabit.

“Sebagai Adun Kadamaian, saya akan terus memberi sokongan dan membantu sebaik mungkin untuk menjayakan misi murni ini. Saya yakin, ia akan mempromosikan lagi Kadamaian yang sedang rancak membangun dalam sektor eko-pelancongan desa,” katanya.

Dalam penganjuran kali ini, Ewon memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk menjayakan acara tersebut.

Maklumat lanjut hubungi Miche (019-942 5360), Cter (016-2828241), Emilda (012 827 5144) atau Nik (013 876 9353). – SabahNewsToday