Pilih Bahasa

Kadamaian kawasan pertama laksana program SRI

KOTA BELUD: Kadamaian dikenalpasti sebagai kawasan pertama melaksanakan program System of Rice Intensification (Sri) hasil kerjasama di antara penduduk Kampung Tambatuon dengan Malaysian Agroecology Society for Sustainable Resource Intensification (Sri-Mas).

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan sokongan ke atas program penanaman padi berasaskan kepada konsep dan amalan SRI bagi menghasilkan beras organik.

Ewon (empat kanan) melawat pameran sayur-sayuran organik di kampung itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata melalui sokongan pelbagai pihak termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud dan Pacos, penduduk Kampung Tambatuon telah mengusahakan penanaman dan perusahaan beras keladi secara organik.

“Dengan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sri-Mas yang mendokong penanaman padi secara Sri, saya amat yakin kita dapat melonjakkan produk beras keladi Kampung Tambatuon ini ke pasaran yang lebih besar kelak.

“Saya dimaklumkan usaha ini melibatkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan ada program berkaitan yang melibatkan persijilan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Ewon (dua kiri) dan Magret (kiri) melawat pameran baja organik pada majlis itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Sudah pasti ia memberi pengiktirafan ke atas produk-produk asli yang beridentitikan warisan asal komuniti di sesebuah kawasan. Saya percaya usaha ini akan dapat melonjakkan aktiviti ekonomi di kampung ini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Sambutan Utamakan Kesihatan Petani, Perasmian Koperasi Petani Tambatuon (Kopeta) dan penyampaian Sijil Tamat Latihan Jurulatih Sri, Malaysia Timur, di Mini Dewan Kampung Tambatuon, di sini, pada Sabtu.

Ewon berkata usaha itu bersesuaian dengan aspirasinya untuk membangunkan kawasan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pelancongan desa dan pertanian mapan, selain keperluan pembangunan infrastruktur asas yang lain.

Ewon (dua kanan) dan Magret (tiga kanan) melawat gerai kerepek pisang penduduk kampung. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Inilah antara fokus utama penyediaan Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang akan dimulakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian.

“Saya akan pastikan pendekatan amalan Sri dalam perusahaan padi di kawasan Kadamaian dimasukkan dalam perincian pelan tersebut kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyokong agar program tersebut diperluaskan ke kampung-kampung lain di kawasan Kadamaian.

“Saya juga berharap agar lebih ramai petani mengamalkan amalan pertanian baik terutamanya secara organik agar pengguna mengamalkan pemakanan yang lebih selamat,” katanya. -SabahNewsToday