Pilih Bahasa

KADAMAIAN NIKMATI PERUNTUKAN BERJUMLAH RM4.9 JUTA DALAM TEMPOH 6 BULAN

Oleh Chris Maskilone

Ewon bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta rakan Menteri Kabinet negeri dalam majlis Rumah Terbuka Krismas hari ini. Gambar SNT/Ehsan KPLB

KOTA BELUD: Kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian mendapat RM4.9 juta untuk kerja naik taraf jalan raya kampung dan jambatan dalam tempoh enam bulan.

“Dalam tempoh enam bulan daripada hari saya diberi mandat sebagai Adun Kadamaian sebanyak RM4.9 juta telah dibelanjakan untuk projek-projek kecil di seluruh Kadamaian,” kata Datuk Ewon Benedick.

Antara tetamu jemputan yang hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Katanya ia diperoleh menerusi peruntukan Anggota DUN dan kapasitinya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Naik taraf jalan raya di kawasan DUN Kadamaian ini menjadi fokus saya dalam tempoh lima tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 DUN Kadamaian di Dewan Gopog, Kampung Taginambur dekat sini, hari ini.

Beliau yakin peruntukan untuk pembangunan di kawasan DUN itu akan meningkat sehingga akhir tahun ini untuk dilaksanakan di 74 kampung yang ada.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong turut hadir di Rumah Terbuka Krismas di Taginambur. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Menurutnya peruntukan terbaru sebanyak RM1juta diterima untuk DUN Kadamaian, diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis hari ini.

Katanya peruntukan itu akan digunakan untuk membina sebuah bangunan dan naik taraf kawasan Tamu Pekan Taginambur.-SabahNewsToday