Pilih Bahasa

Kadamaian sebagai destinasi sukan, rancakkan ekonomi berasaskan Eko Pelancongan

KOTA BELUD: Penganjuran pelbagai jenis acara sukan termasuk sukan lasak dan mempertahankan diri di Kadamaian dapat membantu merancakkan lagi ekonomi setempat terutama perkhidmatan berkaitan industri eko pelancongan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata penganjuran program kesukanan di kawasan itu setakat ini terbukti merancakkan ekonomi dan mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

Ewon bergambar bersama sebahagian daripada peserta kejohanan Taekwando Terbuka Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Baru-baru ini, kita telah mengadakan Program Kadamaian Cross Country Challenge bersempena dengan pelancaran Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Kadamaian yang mana 3,000 orang telah mengambil bahagian dalam acara itu.

“Sebahagian besar mereka menyewa homestay dan membayar beberapa perkhidmatan lain seperti bayaran masuk di pusat-pusat eko pelancongan dan sebagainya.

Sebahagian peserta yang menyertai kejohanan itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Hari ini, satu kejohanan taekwando diadakan di Kg Tambulion Kadamaian yang disertai oleh pasukan-pasukan dari lapan daerah seluruh Sabah yang turut sama mengambil peluang menikmati keindahan Kadamaian dengan membayar perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh para pengusaha homestay dan eko pelancongan. Sudah tentu ini dapat merancakkan ekonomi rakyat di kawasan Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Taekwando Terbuka Kota Belud anjuran Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) Sabah, di Gelanggang Futsal Kampung Tambulion, hari ini.

Ewon (kiri) memecahkan sekeping papan sebagai gimik perasmian kejohanan Taekwando Terbuka Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Mengenai program tersebut, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyokong agar MGTF terus memilih Kadamaian sebagai destinasi penganjuran kejohanan peringkat lebih tinggi, pada masa akan datang.

“Saya dimaklumkan ramai anak muda yang terpilih bertanding ke peringkat yang lebih tinggi.

“Justeru, saya melihat penganjuran sukan seperti ini bukan hanya menjadi platform mengasah bakat kesukanan, tetapi juga memperkasakan semangat disiplin di kalangan peminat sukan taekwando.

“Sukan mempertahankan diri dapat membentuk masyarakat yang berkualiti, seterusnya memberi inspirasi kepada yang lain untuk turut sama mencetuskan kecemerlangan dalam bidang pilihan masing-masing,” katanya

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Boniface, pada majlis itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon berkata beliau tidak pernah menyertai sukan berasaskan seni mempertahankan diri, tetapi beliau amat menghargai semangat disiplin dan falsafah yang diterapkan kepada ahli-ahli sukan tersebut.

“Saya akan menyokong penganjuran lebih banyak program sukan seperti ini,” katanya.

Dalam majlis tersebut, selain sumbangan hadiah sebanyak RM3,000, Ewon juga menyampaikan peruntukan touchpoints ADUN Kadamaian sebanyak RM5,000 kepada MGTF Cawangan Kota Belud untuk membeli kelengkapan-kelengkapan latihan kepada ahli-ahlinya.

Sementara itu Pengerusi Penganjur Boniface Jiran berkata kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini (29 Mac) disertai lapan daerah seluruh negeri.

“Antaranya Keningau, Beaufort, Pitas, Kudat, Kota Marudu dan Kota Kinabalu yang melibatkan 200 peserta berumur 21 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata rombongan dan peserta kejohanan memenuhi beberapa pusat penginapan sekitar Kota Belud, antaranya homestay sekitar pekan, Mountain View, Homestay Kuala Abai dan Tang Dynasty. -SabahNewsToday