Pilih Bahasa

Kadamaian sedia jadi tuan rumah Pesta Kaamatan 2020

Oleh Alfred Petrus

Ewon bersama-sama warga Kaung mendendangkan lagu Kaamatan. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaan Kadamaian menjadi tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pada tahun depan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mempelawa Jawatankuasa Induk untuk menganjurkan pelancaran sambutan Pesta Kaamatan itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian, Kota Belud.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan warga Kadamaian dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan Kaamatan tahun ini.

“Antara kejayaan Dabra Sia menjuarai Pertandingan Sugandoi, Francisca Nain yang mewakili Dun Karambunai tapi pernah menjadi wakil Kota Belud dan berasal dari Kadamaian memenangi Unduk Ngadau.

“Selain itu, Ben Simon memenangi anugerah Lagu Popular Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) serta kejayaan dalam Pertandingan Bercerita. Pencapaian ini tidak pernah berlaku selama ini,” katanya selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kaung Kota Belud di sini kelmarin.

Ewon turut memuji usaha pihak penganjur sambutan Kaamatan sama ada di peringkat kampung, daerah dan negeri atas kejayaan menganjurkannya dalam suasana yang aman dan harmoni.

Ewon (kiri) turut memeriahkan pertandingan `momolopot takano’ atau membungkuas nasi menggunakan daun bersama penduduk kampung. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Bagi saya, penganjuran pesta kaamatan pada tahun ini merupakan satu pencapaian dan melakar kejayaan tersendiri kerana Kabinet telah memutuskan sambutan ini diadakan di Hongkod Koisaan sebagai mengekalkan tradisi penganjuran.

“Selain itu, kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan ini walaupun sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan menunjukkan komitmen besar beliau terhadap warisan budaya dan tradisi ini.

“Sambutan Pesta Kaamatan ini juga menyatukan masyarakat pelbagai kaum khususnya KDM tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Tambahnya ia turut dibuktikan dengan kehadiran Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang turut sama merayakan sambutan ini bersama pimpinan kerajaan negeri  dan warga Sabah yang pastinya memberi impak dan makna yang sangat signifikan.

“Saya juga memuji kejayaan pihak penganjur sambutan ini kerana kesemua ucapan pada tahun ini tidak lagi berunsur politik.

“Sebaliknya satu perakuan betapa Kaamatan merupakan satu wadah perpaduan kaum serta perlunya kecintaan kepada warisan budaya, semangat kekitaan, perpaduan dan kerjasama yang menjadi asas kepada usaha-usaha pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Tahniah diucapkan kepada Datuk Peter Anthony, Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah dan seluruh ahli jawatankuasa atas pencapaian dan kejayaan ini,” katanya.

Ewon menyeru seluruh lapisan masyarakat di negeri ininauoaya terus memperkasakan perpaduan, kerjasama dan hubungan kaum yang sentosa seperti sambutan Pesta Kaamatan. – SabahNewsToday