Pilih Bahasa

Kadar jenayah di bandaraya turun hasil kerjasama masyarakat, polis: Habibi

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara polis dan masyarakat telah berjaya membantu usaha menurunkan kadar jenayah di ibu negeri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pencapaian prestasi amat membanggakan apabila petunjuk indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 18.34 peratus bermula 1 Januari sehingga 23 Jun (semalam).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji memeriksa perbarisan pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Penurunan ini adalah satu impak yang positif daripada kekerapan operasi yang digerakkan oleh IPD Kota Kinabalu seperti Op Sarang dan Op Tapis yang melibatkan pembasmian jenayah dadah dan Op Cegah Jenayah dan Op PATI Bersepadu.

“Beberapa siri tangkapan penjenayah ini oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu telah menyelesaikan sebanyak 486 kes daripada 648 kes bersamaan 75.07 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Pahlawan IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawainya yang berkhidmat cemerlang pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Habibi, kerjasama polis dan masyarakat ini merupakan salah satu usahasama yang amat diperlukan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

“Segala maklumat dan aduan serta kerjasama ini telah banyak membantu pihak polis dari semua elemen termasuk rondaan Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan rondaan balai untuk menurunkan kadar jenayah di sini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji bersama timbalannya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Habibi turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa membantu pihak polis dalam semua aspek.

“Terima kasih dan syabas buat warga masyarakat Kota Kinabalu yang sentiasa bersama pihak polis dalam memerangi segala bentuk jenayah yang ada. Dan diharap kerjasama ini akan kekal sehingga bila-bila,” tambahnya. -SabahNewsToday