Pilih Bahasa

Kadar jenayah di lima kampung angkat menurun: Habibi

Oleh Mohd Adam Arinin

Habibi (tengah) merakamkan gambar bersama ahli Persatuan Anak Tanjung Aru (Persata). – Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Pendekatan melalui interaksi antara pegawai polis dan sesebuah kampung di daerah ini melalui program Kampung Angkat telah mencatatkan kadar penurunan jenayah sosial dan dadah sebanyak hampir 20 peratus pada ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu,  Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata penurunan ini adalah satu kejayaan besar antara kerjasama masyarakat setempat dengan pihak polis dalam membendung masalah jenayah di kawasan mereka.

“Di Kota Kinabalu, penurunan jenayah di kawasan Kampung Angkat ini telah menurun sebanyak 18.4 peratus setakat ini. Penurunan ini merupakan satu kejayaan yang besar bagi pihak polis dalam menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Kita meletakkan keutamaan kepada lima buah kampung yang dijadikan Kampung Angkat iaitu Kampung Lokub, Numbak, Sembulan, Cenderakasih dan di Pulau Gaya, justeru kerjasama daripada komuniti kampung dan hubungan yang baik diantara penduduk dan pihak polis juga merupakan salah satu faktor penurunan kadar jenayah ini,” katanya.


Habibi (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Ketua Kampung Tanjung Aru, Mat Nin pada program kepolisan di Masjid Al Kauthar Tanjung Aru. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di perkarangan Masjid Al Kauthar, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini hari ini.

Menurut Habibi, sebanyak 35 buah kampung yang disenaraikan sebagai ‘Kampung Angkat’ di daerah ini juga dilihat baik kepada penduduk dan penerimaan orang ramai terhadapnya sangat memberi kesan kepada penjenayah yang ingin melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.

“Sejak konsep ini dilancarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada awal tahun ini, ia memberikan banyak manfaat kepada penduduk setempat dalam usaha bersama pihak polis membasmi jenayah sosial dan dadah,” katanya.

Habibi (kiri) ketika menjawab soalan daripada penduduk. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Dalam program tersebut, pihak polis akan meletakkan seorang pegawai untuk bersama dalam komuniti kampung yang dikenali sebagai Peka atau Pegawai Perhubungan Kampung Angkat.

Bagi Kampung Tanjung Aru pula, Habibi menjelaskan bahawa kawasan itu merupakan salah satu kampung angkat yang tidak bermasalah.

“Kampung ini tidak bermasalah. Tiada jenayah sosial dan dadah yang berlaku di sini. Tetapi, tujuan saya mengadakan program kepolisan di sini adalah mendekatkan diri kepada penduduk kampung,” jelasnya.

Dalam pada itu, program yang dianjurkan IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama Persatuan Anak Tanjung Aru (Persata) dan Masjid Al Kauthar Tanjung Aru ini turut diadakan acara sukaneka dan sesi ceramah pencegahan jenayah oleh pihak polis selain cabutan tiket bertuah. – SabahNewsToday