Pilih Bahasa

Kadar royalti lima peratus harga semasa pasaran emas dikaji semula

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie (tengah) bersama sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengkaji semula kadar royalti lima peratus daripada harga semasa pasaran emas kepada kadar yang lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti perlombongan sebagai antara sektor ekonomi yang berpotensi untuk menjana hasil kepada negeri.

Selaras dengan itu, katanya kerajaan juga sentiasa mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan sumbangan sektor mineral terhadap penjanaan ekonomi negeri melalui pengurusan yang efisien, bertanggungjawab dan mapan.

Mohd Shafie (kanan) bersama Timbalannya, Datuk Jaujan Sambakong pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Sehingga 24 Julai 2019, pengusaha lombong emas di Bukit Mantri, Tawau mengeluarkan hasil sebanyak 378.08 kilogram emas dengan harga pasaran RM65.069 juta.

“Kerajaan negeri dahulu telah menetapkan kadar royalti sebanyak lima peratus ke atas harga pasaran emas dan dengan itu jumlah royalti yang dikenakan adalah berjumlah RM3.253 juta yang mana sejumlah RM1.335 juta telah dibayar oleh pengusaha.

“Manakala, baki royalti sebanyak RM1.917 juta akan dibayar dalam tempoh terdekat. Oleh itu, kerajaan negeri akan mengkaji semula apa yang boleh dimanfaatkan dalam perkara ini,” katanya.

Mohd Shafie pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Jeffery Kitingan (Star-Tambunan) berkenaan dasar kerajaan dan hasil yang diperoleh melalui perlombongan emas, pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Tambahnya kerajaan negeri akan sentiasa memantau perlombongan emas di Tawau dan memastikan pengusaha sentiasa mematuhi syarat-syarat yang yang ditetapkan dan membayar royalti mengikut jadual yang ditetapkan.

Di samping itu, kerajaan negeri juga mengamalkan pentadbiran secara keterlibatan yang mana semua pemegang taruh dan komuniti akan dilibatkan dalam mencapai sesuatu keputusan untuk meluluskan aktiviti perlombongan melalui langkah-lkangkah pengawasan yang ketat supaya aktiviti itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat serta ekonomi negeri tanpa memudaratkan alam sekitar.

Mohd Shafie pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mohd Shafie menjelaskan bahawa ketika ini hanya satu sahaja lombong emas dalam negeri iaitu Bukit Mantri Tawau yang telah dikeluarkan geran pajakan perlombongan seluas 946.1 hektar pada 2015.

“Lombong ini telah mula beroperasi pada 2018 seteah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Khas dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Negeri dan Skim Operasi Lombong dari Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya. – SabahNewsToday