Pilih Bahasa

Kaedah baharu diperlukan tangani isu seludup tong LPG

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Isu penyeludupan barang kawalan bersubsidi khususnya tong gas cecair petroleum (LPG) di daerah ini yang berada pada tahap serius memerlukan kaedah baharu yang lebih berkesan bagi menanganinya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata sistem sedia ada masih tidak berjaya mengekang aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman (kiri), Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Malaysia, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (tengah) dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali ditemui dalam sidang media Mesyuarat Bilateral. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Menurutnya, kaedah lain yang lebih rapi dengan pemantauan lebih kerap dan penambahan aset serta anggota perlu dilakukan di daerah ini dengan kerjasama penguatkuasa lain khususnya Pasukan Polis Marin (PPM).

“Kaedah-kaedah terbaharu masih kita fikirkan supaya bekalan LPG ini tidak terjejas untuk rakyat kita di Pulau Sebatik.

“Kita sekarang sudah sediakan LPG yang tidak bersubsidi berwarna ungu. Kalau boleh biarlah rakyat negara jiran guna tong gas itu dan bersubsidi tetap untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Bilateral bersama PPM yang dihadiri Komander PPM Malaysia, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, di sini, hari ini.

Katanya langkah terbaik perlu diambil supaya rakyat tempatan di Pulau Sebatik tidak terjejas dengan kawalan penguatkuasaan yang akan dilakukan setiap masa.

“Kawalan tetap kena buat kerana selama ini kita cuma benarkan individu untuk beli di tanah besar bawa ke Pulau Sebatik dengan kos yang rendah tetapi penyelewengan masih berlaku.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan kebanyakan penyeludup tong lpg adalah dalam kalangan individu yang mengambil peluang ekoran harga tong lpg seunit adalah sangat murah dan jika diseludup boleh mendapat keuntungan RM60 setong,” jelasnya.

Terdahulu mengulas mengenai mesyuarat itu, beliau berkata kerjasama KPDNHEP dengan PPM dapat mengatur gerak kerja untuk penguatkuasaan undang-undang terutama berkaitan barang kawalan dan subsidi.

“Melalui mesyuarat ini kita dapat membuat perancangan untuk pastikan kerjasama ditingkatkan sekaligus menangani banyak isu secara untuk tindakan tangkapan, rampasan dan kejayaan bersama di seluruh negara,” katanya lagi.

Beliau berkata antara kejayaan yang dicapai bersama PPM adalah pada tahun 2018 sebanyak 420 kes kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan RM7.5 juta dan sebanyak 367 kertas telah dihasilkan dengan nilai RM19.13 juta pada tahun 2019.

Sementara itu Mohd Yusoff pula berkata PPM bersedia dalam apa jua keadaan membantu penguatkuasa lain khususnya menangani aktiviti penyeludupan di perairan.

“Untuk PPM sendiri kita akan mengambil inisiatif menambah anggota risik di Sabah untuk penugasan yang lebih berkesan kerana kita sedia maklum Sabah ini kawasannya sangat luas,” katanya. -SabahNewsToday