Pilih Bahasa

Kajian kaedah baharu dalam pengurusan sisa pepejal di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah giat mengkaji bagi melihat kemungkinan penggunaan kaedah berbeza dalam pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata kaedah konvensional seperti penimbusan di tapak pelupusan dilihat semakin tidak relevan selain memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia serta alam sekitar.

Jaujan bersalaman dengan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Salah satu kaedah sedang dikaji kini ialah Waste of Energy di mana mengubah sisa pepejal atau sampah untuk menjadi tenaga bagi kegunaan manusia.

“Dalam pada itu, kementerian juga akan terus memperhebatkan kempen dan mengatur strategi demi menjadikan persekitaran hidup rakyat lebih hijau, harmoni dan sejahtera.

“Kita sudah melancarkan Kempen Kebersihan Pantai dan Kempen Tanpa Beg Plastik, Polisterina dan penyedut minuman. Semua kempen ini telah diadakan di beberapa lokasi termasuklah Ranau, Kudat dan Sandakan,” katanya berkaitan langkah sedang serta sudah diambil melalui Majlis Daerah Keningau dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan di pekan Keningau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Loretto S Padua JR (Adun Dilantik-Keningau) mengenai usaha kerajaan dalam menjadikan daerah Keningau sebuah daerah bebas sampah berikutan berlakunya longgokan sampah di kawasan pekan.

Dalam pada itu, Majlis Daerah Keningau telah menubuhkan lima pasukan pekerja yang lengkap dengan peralatan kebersihan untuk mengutip sampah di kawasan bandarsekali dalam seminggu.

Beliau berkata kekerapan pelaksanaan kerja pembersihan juga akan ditambah sebanyak dua kali seminggu apabila bilangan pekerja dan peralatan kebersihan ditambah dalam masa terdekat.

“Masalah longgokan sampah di rumah-rumah sampah di sekitar kawasan pekan Keningau disebabkan oleh pembuangan sampah oleh penduduk dari luar kawasan operasi majlis juga akan cuba diatasi dengan menempatkan tong Roll On Roll Off (RORO) di lokasi strategik.

“Selain itu, pihak majlis daerah akan meningkatkan lebih banyak kempen kebersihan seperti Kempen Anti Kutu Sampah (KAKS) dan program gotong-royong di kawasan pekan bagi mengurangkan jumlah sampah dalam pekan selain akan sentiasa menguatkuasakan Undang-Unndang Kecil-Uniform (Anti-Litter) By-Laws 2010 ke atas kesalahan membuang sampah di merata tempat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Rahman Kongkawang (PBS-Labuk) berkaitan pengwujudan Majlis Daerah Telupid, Jaujan menyatakan usaha berkenaan sudah dalam pelaksanaan tahun ini. –SabahNews Today