Pilih Bahasa

Kajian pembinaan Landasan Keretapi Kota Kinabalu-Kudat dijangka bermula suku pertama tahun depan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kajian Pembinaan Landasan Keretapi daripada Kota Kinabalu ke Kudat sepanjang 175 kilometer dijangka bermula sekitar bulan Februari atau Mac tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telahpun menyiapkan Terma dan Rujukan (Term of Reference) (TOR), kajian awalan laluan dan dokumen tender.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Sehubungan dengan itu, proses tender untuk kajian ini akan diuruskan dalam masa terdekat supaya kerja-kerja kajian dapat dimulakan sekitar bulan Februari atau bulan Mac 2020,” katanya dalam ucap penggulungan Bajet Negeri 2020 bagi Kementerian Pembangunan Infrastruktur di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam persidangan yang lalu, Peter berkata kos projek pembinaan landasan keretapi tersebut adalah sekitar RM5 bilion.

Sementara itu, beliau berkata permintaan terhadap bekalan air di Kawasan Pantai Barat dijangka mendesak memandangkan ada rancangan untuk memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Papar

“Sepertimana yang telah saya katakan dulu pembinaan Empangan Papar merupakan jalan terakhir untuk selesaikan masalah bekalan air,” katanya, Loji Penapisan Air Telibong juga semakin kering.

Peter menjelaskan pemindahan empangan itu ke Papar daripada tapak cadangan asal di Penampang turut dipersetujui oleh kesemua wakil rakyat di kawasan Papar.

Menurutnya Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah telah meneroka pelbagai opysen bagi sumber bekalan air mentah untuk menampung keperluan bekalan air jangka panjang bagi kawasan Kota Kinabalu.

“Dalam mengambil kira aspek-aspek kejuruteraan dan pengendalian operasi jangka panjang, pihak Jabatan Air Negeri Sabah telah mendapati opsyen pembinaan sebuah empangan air di kawasan Ulu Papar adalah lebih sesuai,” katanya.

Selain itu, Jabatan Air Negeri Sabah juga berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan yang berterusan dengan penyampaian khidmat yang efisien, berkualiti dan mesra untuk kepuasan pelanggan-pelanggan di negeri Sabah.

Setakat 31 Oktober tahun ini, Jabatan Air telah berjaya mengutip hasil daripada Jualan Air sebanyak RM 221.15 juta atau 85 peratus daripada anggaran hasil kutipan yang disasarkan sehingga hujung tahun ini iaitu sebanyak RM 260 juta.

Manakala, katanya purata Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil atau Non- Revenue Water (NRW) juga kini berada pada tahap 53 peratus dengan sasaran penurunan sehingga 49 peratus penghujung tahun ini.

Bagi program Bekalan Air Serta-Merta dan Rancangan Bekalan Air Negeri Sabah, di bawah peruntukan Pinjaman Mudah Persekutuan, Peter berkata Jabatan Air Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM76.27 juta bagi tahun 2019 untuk melaksanakan 11 buah projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Mulai tahun hadapan, dua buah projek lagi akan mula dilaksanakan iaitu Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon, Papar dan Projek Pembinaan tiga buah Tangki Simpanan Utama di Sandakan.

Berkenaan penyerahan kembali Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri, Peter berkata keseluruhan proses, termasuk rundingan dengan pihak Kerajaan Pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelak dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun atau lebih awal.

Untuk tahun depan, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan jabatan serta agensi di bawahnya mendapat peruntukan sejumlah RM 929.44 juta daripada Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2020.-SabahNewsToday