Pilih Bahasa

Kaki pelajar tersepit jeriji besi longkang

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu terpaksa menanggung kesakitan hampir 15 minit selepas kaki kanannya tersepit pada jeriji besi longkang di sekolahnya, di Sook, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.54 petang dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dikejarkan ke lokasi kejadian.

Keadaan kaki pelajar yang tersepit pada jeriji besi longkang. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Katanya sebaik tiba di lokasi mendapati kaki kanan mangsa tersangkut pada jeriji besi longkang di sekolah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas ‘hidraulik spreader’ dan ‘power unit’ untuk mengeluarkan kaki mangsa.

“Beberapa minit kemudian kaki mangsa berjaya dikeluarkan seterusnya diberi rawatan awal,” katanya di sini, hari ini.

Pelajar dibawa ke Klinik Kesihatan Sook untuk rawatan lanjut. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurutnya sebaik kaki mangsa dikeluarkan, Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) membuat rawatan awal.

Mangsa yang cedera dibahagian kaki kanannya dihantar ke Klinik Kesihatan Sook menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 3.10 petang,” katanya. – SabahNewsToday