Pilih Bahasa

Kakitangan HQE I dan orang ramai cemas, pendingin hawa terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

Gegelung pendingin hawa yang terbakar di tingkat empat bangunan HQE 1, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Kakitangan dan orang awam di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) cemas seketika apabila pendingin hawa di tingkat empat bangunan berkenaan terbakar petang tadi.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.05 petang.

“Seramai 23 anggota termasuk pegawai bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi kebombaan.

Kakitangan HQE I dan orang ramai bergegas keluar selepas gegelung pendingin hawa di tingkat empat bangunan HQE 1, terbakar. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Kebakaran membabitkan gegelung pendingin hawa di tingkat empat terbakar dan tidak membabitkan struktur bangunan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran terpadam dengan sendirinya selepas kakitangan hospital menutup suiz pendingin hawa berkenaan.

“Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain manakala operasi terkawal pada 4.15 petang,” katanya. – SabahNewsToday