Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pemantauan kesalahan lalulintas oleh pengguna jalan raya akan dipantau secara penghasilan imej dan visual dengan pemasangan kamera pada kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini.
Pengarah JPJ Sabah Sadim Abdul berkata penggunaan perakam kamera ini diperluaskan semasa Op Selamat 14 bersempena Tahun Baharu Cina 2019 bermula 29 Januari lalu hingga 12 Februari ini.
“Kita menggunakan kamera khas yang diletakkan pada ‘dashbord’ kereta peronda milik JPJ sebanyak 50 buah manakala 10 buah motosikal peronda akan menggunakan kamera ‘GoPro’.
“Sehubungan itu, kita berharap dengan adanya pemasangan kamera ini pengguna atau pemandu akan lebih berhati-hati agar tidak melakukan kesalahan lalulintas,” katanya pada sidang media selepas hadir meninjau operasi yang dijalankan di Terminal Bas Inanam, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sabah Datuk Abdul Rahman Zakaria.
Menurut Sadim, pihak JPJ Sabah akan menempatkan anggotanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot dengan waktu operasi selama 16 jam sehari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.
“Pada hari Tahun Baharu Cina nanti, kita akan jalankan operasi selama 24 jam tanpa henti bagi memantau kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambah Sadim, sempena Op Selamat 14 ini juga pihak JPJ Sabah telah membekukan cuti kesemua anggota di bahagian penguatkuasaan bagi memastikan kelancaran operasi.
Dalam pada itu, JPJ Sabah telah mengeluarkan saman sebanyak 1,206 saman sejak hari pertama Op Selamat dijalankan bermula 29 Januari lepas.
“Antara kesalahan yang banyak dikeluarkan saman ialah memandu tanpa lesen,” jelasnya.
Tambah Sadim, pihak JPJ Sabah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa membawa lesen memandu yang masih sah setiap kali menggunakan kenderaan.
“Perkara terpenting untuk semua pengguna jalan raya lakukan adalah sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya agar kesemua mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya. -SabahNewsToday