Pilih Bahasa

Kampung Salinatan dipilih untuk Program Kampung Sejahtera

Oleh Alfred Petrus

Pemandangan dari atas Kampung Salinatan yang dipilih untuk Program Kampung Sejahtera. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

NABAWAN: Kampung Salinatan, Pensiangan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Pekan Nabawan terpilih untuk dimasukkan di bawah Program Kampung Sejahtera bermula tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata pemilihan tersebut berdasarkan kepada keperluan pembangunan asas di kampung tersebut yang masih berhadapan dengan masalah jalan raya dan ketiadaan bekalan elektrik serta masih bergantung kepada air graviti.

“Program Kampung Sejahtera adalah program di bawah KPLB yang bertujuan untuk membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi di kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dari kawasan pekan.

“Kita berharap melalui program ini, penduduk Kampung Salinatan akan menikmati beberapa kemudahan asas dan ameniti sosial serta program sosio-ekonomi daripada agensi-agensi Kerajaan.

“Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua keperluan pembangunan, tetapi program ini merupakan saluran kita untuk membantu komuniti di kampung ini mengikut peruntukan yang diberikan kepada Kementerian,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja beliau di Mesej Getah Salinatan Mukim Pensiangan, Pagalungan di Balai Budaya Kampung Salinatan semalam.

Ewon (kiri) bersalaman dengan penduduk Kampung Salinatan sejurus tiba di kawasan itu. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon berkata, antara kampung lain yang turut dikenalpasti untuk dimasukkan di bawah Program Kampung Sejahtera ialah Kampung Tiong Baru Membakut, Mangkasulap Paitan dan Piak-Piak Kota Belud.

Dalam majlis tersebut, Ewon juga meluluskan permohonan pembinaan sebuah jambatan kampung yang diperlukan oleh para penduduk.

Katanya KPLB Persekutuan juga telah meminta senarai 10 kampung untuk pelaksanaan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (Belba) dan 10 lagi kampung untuk Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba) pada tahun hadapan.

Ewon (tengah) memasukkan sumbangan peribadi untuk Tabung Kampung Salinatan. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya telah membantu mendapatkan peruntukan sebanyak RM50,000 menaik taraf kemudahan bekalan air graviti di kampung ini pada tahun lepas dan saya berharap ianya telah memberi manfaat kepada para penduduk di kampung ini.

“Kita akan cadangkan kampung ini sebagai salah satu senarai kampung untuk Program Belba KPLB Persekutuan pada tahun hadapan supaya sumber sungai di sini boleh dijadikan sumber tenaga elektrik secara makro-hidro,” katanya.

Kampung Salinatan pernah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Desa Cemerlang peringkat daerah Nabawan pada 2004 di bawah Program KPLB Persekutuan. – SabahNewsToday