Pilih Bahasa

Kanak-kanak 8 tahun ditemui lemas dalam kolam

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki lemas dipercayai terjatuh ke dalam kolam di Kampung Layang-Layangan, di sini, petang Rabu.

Mangsa, Mohammad Nazrullah Hazizul Fahmi, 8, dikatakan bermain bersama abangnya di kawasan berkenaan sebelum terjatuh ke dalam kolam.

Lokasi kejadian mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain bersama abangnya di kawasan kebun Kampung Layang-Layangan, Labuan. Gambar SNT/Ihsan IPD Labuan

Kejadian hanya disedari nenek mangsa apabila abangnya yang berusia 10 tahun menjerit meminta pertolongan dari dalam kolam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimaklumkan sudah berada di tempat kejadian dan membawa kanak-kanak terbabit ke Hospital Labuan.
 
“Pihak polis yang menjalankan siasatan lanjut di hospital mendapati mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan punca kematian dipercayai akibat lemas.
 
“Siasatan mendapati, mangsa bersama abangnya berada di kebun bersama nenek merek yang mengusahakan kebun berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata nenek mangsa yang dikejutkan dengan jeritan kemudiannya berjaya menyelamatkan abang mangsa manakala adiknya dipercayai tenggelam di kolam berkenaan.

“Pasukan bomba yang dihubungi berjaya menemui mangsa di dalam kolam sebelum dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dapat dikesan dan kes disiasat sebagai kes mati mengejut,” katanya. – SabahNewsToday