Pilih Bahasa

Kanak-kanak cucuk mata lelaki guna batang aiskrim elak serangan seksual

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terselamat daripada serangan seksual seorang pemandu kereta sapu yang menghantarnya pulang selepas bertindak mencucuk mata lelaki itu menggunakan batang aiskrim di kawasan tembok Panuwasa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa menumpang kereta suspek jenis Perodua Viva warna hitam untuk pulang ke rumahnya di kawasan belakang Homeware, di sini.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata sebaik tiba di lokasi kejadian suspek kemudian memberhentikan kereta lalu memegang pergelangan tangan kanan kanak-kanak perempuan terbabit.

Kemudian mangsa diarah memegang kemaluan suspek.

“Namun, mangsa enggan dan memberitahu akan melaporkan perbuatan suspek kepada polis menyebabkan suspek menutup mulut mangsa.

“Mangsa kemudian meronta dan berjaya melepaskan diri keluar dari kereta selepas menusuk mata suspek dengan batang aiskrim,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian melarikan diri dan meminta pertolongan dengan seorang lelaki yang ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dihantar ke Pasar Sayur Kudat dan diserahkan kepada nenek mangsa,” katanya.

Akibat pergelutan untuk melepaskan diri daripada suspek, mangsa merasa sakit di muka dan terdapat kesan calar dihujung mata sebelah kanan.

Mohd Firdaus berkata pihaknya sedang mengesan suspek terbabit dan berdasarkan keterangan mangsa suspek berbadan kurus, muka cengkung rambut pendek dan beruban.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. -SabahNewsToday