Pilih Bahasa

KANAK-KANAK HIDAP PENYAKIT KRONIK CERIA SAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Pearl Amberly menunjukkan reaksi gembira tatkala menerim hadiah sempena ulang tahun kelahirannya. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Menghidap penyakit ‘Congenital Muscular Dystrophy’ sejak lahir bukan penghalang buat seorang kanak-kanak perempuan di negeri ini memberikan senyuman ceria ketika sambutan hari lahirnya, hari ini.

Pearl Amberly yang berusia tujuh tahun disahkan menghidap penyakit lemah serta kegagalan fungsi otot menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan pembesarannya terbatas.

Pearl Amberly (dua dari kanan) meniup lilin ditemani ibunya, Anne Marie (tiga dari kanan) sempena ulang tahun kelahirannya. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Ibu Pearl, Anna Marie Jani Gait, 34, berkata anak ketiganya itu mula dikesan mempunyau masalah berkenaan sejak masih dalam kandungan berikutan kurangnya pergerakkan dalm tempoh kehamilan.

Anna Marie berkata selepas melahirkan Pearl, anak perempuannya itu sering dimasukkan ke hospital serta harus menjalani rawatan susulan.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, walaupun keupayaan agak terbatas, Pearl adalah seorang kanak-kanak yang periang dan aktif ketika berada di rumah.

Pearl Amberly gembira menerima hadiah sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang diadakan di UMS. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Pearl tidak boleh berjalan dan hanya duduk di kerusi sorong bayi jika kami membawanya keluar bersiar-siar atau hanya berbaring kalau berada di rumah tetapi dia boleh bercakap, mewarna dan menulis.

“Sebagai seorang ibu, saya pastinya mahu menghantar Pearl ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun, penyakit dihidapinya mengakibatkan dia serta suami melupakan hasrat berkenaan.

“Saya juga mengambil keputusan berhenti kerja selepas Pearl lahir kerana mahu menumpukan lebih perhatian untuk menjaganya secara berterusan,” katanya dalam nada sebak.

Penghidap penyakit Congenital Muscular Dystrophy, Pearl Amberly (enam dari kanan) ketika sambutan ulang tahun kelahiran ke tujuhnya di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dianjurkan buat julung kali, sambutan ulang tahun kelahiran Pearl diadakan oleh pelajar perubatan dan kejururawatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Turut diadakan sambutan hari kelahiran adik bongsu Pearl, Caleb Elton, yang menyambut ulang tahun kelahiran ketiga pada hari ini.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni fakulti itu, Dr Yeap Boon Tat, berkata tarikh sebenar ulang tahun kelahiran Pearl adalah 11 Mac hadapan namun pihaknya membuat sambutan beberapa hari lebih awal.

Yeap berkata program terbabit bertujuan memberikan sumbangan kepada komuniti terutamanya membabitkan pesakit menghidap penyakit sukar diubati.

“Program ini turut secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pelajar universiti ini agar lebih mendekati masyarakat

“Kita berharap aktiviti seumpama ini dapat memberi keceriaan kepada sepasakit sekeluarga,” katanya. – SabahNews Today