Pilih Bahasa

Kanak-kanak lelaki 2 tahun maut dilanggar kenderaan dipandu bapa saudara

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dilanggar kenderaan yang dipandu bapa saudaranya, di Kampung Long Danau Silabukan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, bapa saudara berusia 37 tahun bersama ahli keluarganya yang lain menaiki kenderaan jenis Toyota Land Cruiser selepas beraya di rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar SNT

“Ketika bapa saudara mangsa mula menggerakkan kenderaannya ke hadapan, dia terasa terlanggar sesuatu dan mendapati mangsa terbaring di sebelah tayar kiri hadapan kenderaannya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa keluar dari pintu pagar rumahnya tanpa pengawasan orang dewasa sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Siasatan berhubung kejadian ini masih dalam siasatan dibawa Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SabahNewsToday