Pilih Bahasa

Kanak-kanak lelaki lemas dipercayai tergelincir di kolam renang

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai lemas ketika mandi di kolam renang, Balung River, di sini, semalam.

Mangsa Tuah Iskandar Azizul, 11, beriadah bersama keluarganya di kolam rekreasi berkenaan sebelum mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam renang pukul 1.20 tengah hari.

Tuah Iskandar Azizul. Gambar SNT/NS

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Balung bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Tawau menaiki ambulan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian tidak mengesyaki perbuatan jenayah yang menyebabkan kematian dan mangsa dipercayai tergelincir ekoran permukaan kolam yang licin serta air keruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – SabahNewsToday