Pilih Bahasa

KANAK-KANAK LELAKI MAUT DIGILIS MOTOKAR

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Keadaan lokasi kejadian kanak-kanak lelaki digilis kenderaan di Kampung Selagon Dua, semalam. Gambar SNT/ Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki maut digilis kenderaan dalam kemalangan di Kampung Selagon Dua, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Nuraizat Syah Danish Royhaizzath, 7, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort berikutan kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Azmir Abd Razak berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Datsun yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 40 tahun
dalam perjalanan daripada Kampung Pintas menuju ke pekan Beaufort.

Azmir berkata setibanya di lokasi kejadian di kawasan Kampung Selagon Dua, seorang kanak-kanak lelaki  dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan mengakibatkan pemandu mengakibatkan pemandu kenderaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki berkenaan.

“Perlanggaran terbabit menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh di atas jalan raya dan digilis tayar depan sebelah kiri motokar.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke hospital namun pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dalam perjalanan.

“Siasatan lanjut ke atas pemandu kereta juga sudah dibuat dan pihak polis mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol serta negatif dadah ketika kejadian berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir berkata siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pejalan kaki yang melintas jalan secara berbahaya.

Beliau berkara tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kemalangan itu namun siasatan lanjut masih diteruskan. -SabahNewsToday