Pilih Bahasa

Kanak-kanak lelaki maut jatuh dari tingkat empat

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat empat di sebuah flat di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, kanak-kanak terbabit yang tinggal bersama neneknya dikatakan terjatuh dari beranda dapur.

Ibu bapa mangsa berada di tempat kejadian selepas mendengar berita malang yang menimpa anak mereka.-Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika kejadian, nenek mangsa berusia 52 tahun itu dikatakan berada di dalam tandas.

Katanya wanita itu hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan orang ramai dari tingkat bawah rumah flat berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibahagian kepala disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Anggota polis mengangkat mayat kanak-kanak yang terjatuh dari tingkat empat di sebuah flat di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Ihsan Polis

“Ibu dan bapa mangsa yang bekerja sebagai pembersih awam tinggal rumah lain tetapi di flat yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – SabahNewsToday