Pilih Bahasa

KANAK-KANAK LEMAS TERJATUH KE DALAM LONGKANG DITEMUKAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota bomba menemukan mayat kanak-kanak lelaki yang terjatuh di dalam longkang di Kampung Peringatan, Petagas kira-kira dua kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang. – Gambar SNT/ Ihsan Bomba

PENAMPANG: Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Kampung Peringatan, Petagas tengah hari semalam ditemukan hari ini.

Mangsa, Muhammad Alwadi Abdullah, 3, dijumpai di sungai berhampiran Kampung Ganang sekitar pukul 4.28 petang oleh orang awam kira-kira dua kilometer dari tempat kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang.

Mayat kanak-kanak lelaki yang terjatuh di dalam longkang di Kampung Peringatan, Petagas ditemui oleh anggota bomba. – Gambar SNT/ Ihsan Bomba

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Sabah, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi penemuan bersama ayah mangsa bagi proses pengecaman.

“Ayah mangsa mengesahkan mayat kanak-kanak ditemui itu adalah anaknya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Anggota bomba membantu membawa naik mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya. – Gambar SNT/ Ihsan Bomba

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan penyelamat di air (PPDA) dilaksanakan dilokasi kejadian untuk mencari mangsa sehingga petang ini,” kata bomba.

Terdahulu, kanak-kanak malang berkenaan dipercayai terjatuh di longkang besar yang terdapat di kampung itu seleoas penemuan selipar mangsa berada di tepi longkang terbabit. – SabahNewsToday