Pilih Bahasa

KANAK-KANAK MATI, LIMA SELAMAT DAN LIMA LAGI HILANG DI PERAIRAN PULAU NUNUYAN

Keadaan mangsa yang masih lemah selepas lebih 18 jam hanyut dan hanya berpaut pada bot terbalik. – Gambar SNT / Ihsan TLDM Sandakan

SANDAKAN, 1 Mac (Bernama) — Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dijumpai petang tadi dan dipercayai mangsa bot yang karam petang semalam di perairan Pulau Nunuyan, kira-kira lapan batu nautika dari sini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata mayat kanak-kanak lelaki itu ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada pukul 4 petang tadi.

Lima mangsa termasuk dua wanita diselamatkan menggunakan Bot Tempur CB217 TLDM. – Gambar SNT / Ihsan TLDM Sandakan

Sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan selepas lima mangsa kejadian itu diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan tengah hari tadi selepas hanyut kira-kira 18 jam, manakala lima lagi iaitu dua lelaki, termasuk tekong bot, seorang wanita dan dua kanak-kanak masih hilang.

“Mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat, manakala mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital berkenaan kerana ada yang mengalami trauma,” katanya pada sidang akhbar mengenai kejadian itu di sini, hari ini.

Mangsa dibawa ke jambatan Pangkalan Sandakan untuk diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Dutches of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut. – Gambar SNT/Ihsan TLDM Sandakan

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Bahagian Operasi dan Peperangan Markas Wilayah Laut 2 TLDM Komander Jamhari Katimin.

Mohd Khairulanuar berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pukul 2 petang tadi, namun ditangguhkan pukul 6.30 petang dan akan disambung pagi esok.

Menurutnya, mangsa yang diselamatkan iaitu tiga lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 29 tahun warga Filipina itu dikesan oleh sebuah bot tempur TLDM yang sedang melaksanakan rondaan dan latihan di perairan Sandakan pukul 12.15 tengah hari tadi.

Katanya, mangsa dilihat berpaut pada bot yang terbalik dan melambai ke arah anggota TLDM berkenaan.

“Mengikut percakapan mulut mangsa, bot itu dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora.

“Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai tujuan pelayaran mereka,” katanya.

Selain APMM dan TLDM, operasi SAR turut disertai Pasukan Polis Marin.

— BERNAMA