Pilih Bahasa

Kanak-kanak maut digilis van pengangkutan awam

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terbabit maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas digilis di bahagian tayar belakang sebuah van pengangkutan awam jenis Nissan di Batu 3 Jalan Apas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa Amir Ramli parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku ketika pemandu van berusia 40 tahun dalam perjalanan menghantar penumpang dari Semporna ke Kampung Sungai Buaya.

Lokasi kanak-kanak berkenaan dilanggar sebelum digilis. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Selesai menghantar penumpang, pemandu van kemudian memandu keluar dari kawasan berkenaan dan dalam masa yang sama mangsa yang berada di bahu jalan sebelah kanan sedang melintas jalan hingga menyebabkan mangsa melanggar sisi kanan van.

“Akibat kemalangan itu mangsa terjatuh dan tergilis di bahagian tayar belakang kanan van terbabit. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday