Pilih Bahasa

KANAK-KANAK MAUT TERSEPIT DALAM KENDERAAN BAPA SAUDARA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Anggota bomba mengeluarkan mangsa iaitu seorang kanak-kanak yang tersepit di bahagian hadapan tempat duduk penumpang. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Kanak-kanak lelaki berusia satu tahun maut sementara kakaknya cedera selepas kenderaan jenis Isuzu Dmax yang dinaiki bersama bapa saudaranya terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Lahad Datu -Sandakan, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, mangsa maut akibat tersepit di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata siasatan awal mendapati dua kenderaan iaitu lori jenis Nissan dan bas express sedang dalam perjalanan dari Sandakan menuju Lahad Datu manakala kenderaan yang dinaiki mangsa bersama kakak dan bapa saudaranya dari arah bertentangan.

Beberapa anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 15 Jalan Lahad Datu -Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum dirempuh sekali lagi oleh bas express.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kemalangan dan bertindak mengeluarkan mangsa.

Kenderaan berat yang hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kenderaan jenis Isuzu Dmax yang dinaiki mangsa kemalangan di Jalan Lahad Datu-Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia manakala kakaknya cedera dan bapa saudara, pemandu bas express dan 12 penumpang serta pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Nasri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday