Pilih Bahasa

Kanak-kanak tiga tahun dikhuatiri lemas di Sungai Tebobon

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (Sar) seorang kanak-kanak lelaki yang dikuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kampung Tebobon petang kelmarin masih giat diteruskan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi Sar hari kedua berkenaan melibatkan empat anggota Pasukan Penyelamat Dalam Ari (PPDA), tiga anggota Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS), tiga pasukan K9 dan seekor anjing pengesan.

Operasi SAR sedang dijalankan. Khidmat anjing pengesan turut digunakan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Melalui keterangan keluarga mangsa, Mohd Putra Daniel bin Samsul dipercayai hilang sekitar pukul 6 petang pada Sabtu.

Seterusnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan berkenaan pada pukul 10.12 malam dan menggegaskan anggota ke lokasi kejadian.

Operasi Sar dijalankan di kawasan sekitar sungai tempat mangsa dipercayai hilang.

Kemudiannya, operasi ditangguh pada pukul 11.25 malam kelmarin dan disambung seawal pukul 6.20 pagi hari ini yang diketuai oleh Pegawai Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Agustavia Guasi.

Usaha mencari sedang dijalankan oleh anggota bomba. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Kawasan pencarian mangsa telah dijalankan di sekitar Kampung Tebobon oleh keluarga mangsa bersama pasukan bomba di kawasan sungai sejauh 3 kilometer sehingga berhampiran kawasan belakang Akademi Bomba dan Penyelamat Sepanggar.

Namun, disebabkan keadaan hujan lebat pada sebelah petang menyebabkan operasi ditangguh pada pukul 4 petang dan akan disambung keesokan hari.

Sebarang perkembangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. -SabahNewsToday