Pilih Bahasa

Kanser ragut 743 nyawa wanita di Sabah 2011-2015

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seramai 743 wanita di negeri ini direkodkan meninggal dunia disebabkan kanser bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Norazlinah Arif berkata bilangan wanita kematian tertinggi terdiri daripada kes kanser payudara iaitu sebanyak 22.61 peratus, paru-paru dan salur pernafasan (18.57 peratus) dan serviks pula 10.09 peratus.

“Tiga kanser tertinggi dalam kalangan wanita di Sabah adalah kanser payudara, serviks (pangkal rahim) dan kolorektal (usus).

“Pelbaga kempen kesihatan dan program saringan untuk ketiga-tiga jenis kanser ini ada ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di klinik-klinik kerajaan termasuk di negeri ini,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tan Lee Fatt (Likas-DAP) apakah peranan kerajaan dalam menyediakan program kesihatan dan langkah pencegahan terhadap penyakit barah bagi kaum wanita dan punca serta bilangan kematian setipa tahun sejak 2010.

Norazlinah berkata orang awam disarankan untuk mengamalkan cara hidup sihat bagi mengurangkan risiko yang diketahui penyebab kanser.

Katanya Kementerian Kesihatan menggalakkan pemeriksaan sendiri payudara melalui promosi kesihatan di klinik desa dan kesihatan, di samping itu menyediakan pemeriksaan klinikal payudara untuk wanita.

“Penubuhan `PInk Ribbon Centre’ di Hospital Queen Elizabeth II yang mula beroperasi sejak Februari tahun lalu bertujuan mempercepatkan proses rawatan dan menyediakan persekitaran holistik bagi membantu pesakit.

“Bagi pesakit aknser serviks pula imunisasi HPV diberikan secara percuma oleh kementerian sebagai program pencegahan untuk pelajar perempuan berumur 13 tahun di sekolah-sekolah, selain ujian Pap smear pula ditawarkan di klinik kerajaan kepada wanita berisiko,” katanya.

Jelasnya saringan kanser usus dijalankan di klinik kerajaan yang terlibat dengan menggunakan kit iFOBT untuk mengesan darah dalam najis.

Katanta sekiranya keputusan iFOBT positif klien tersebut akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kolonoskopi. – SabahNewsToday