Pilih Bahasa

KANTOI CUBA SELUDUP KELUAR TONG GAS

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar 10 tong gas cecair petroleum (LPG) gagal selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di dua lokasi berasingan, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata dalam serbuan pertama jam 7 pagi itu, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van yang dipandu seorang lelaki tempatan, di Pasar Besar daerah ini.

Dalam serbuan pertama di Pasar Besar Tawau, pihak PPM berjaya menahan sebuah van yang membawa enam tong gas dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Hasil pemeriksaan di dalam van terbabit menemui enam tong gas yang dipercayai cuba diseludup keluar melalui perairan Tawau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil serbuan kedua kira-kira jam2.30 petang, pihaknya melalui Ops Gelora berjaya memintas bot yang mencurigakan di laut berhampiran Pelabuhan CIQ Tawau.

Serbuan kedua dilakukan di laut berhampiran Pelabuhan CIQ Tawau dan mendapati seorang juragan membawa empat tong gas. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Seorang lelaki tempatan berada di bot terbabit dan kita turut menemui empat lagi tong gas.

“Hasil tangkapan berasingan itu, kedua-dua suspek berusia 37 dan 44 tahun gagal menunjukkan sijil kebenaran membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP),” katanya.

Juragan bot yang ditangkap dan tong gas yang cuba diseludup keluar. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

Mengulas lanjut, beliau berkata semua barang kawalan termasuk bot dan van bernilai RM29,800 dirampas .

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. -SabahNewsToday