Pilih Bahasa

Kantoi sembunyi dadah dalam bekas gula getah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Taktik seorang pengedar menyembunyikan dadah seberat 5.5 gram di dalam bekas gula getah gagal selepas dihidu pihak polis dalam kejadian di rumah kongsi Ladang Sapang, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, suspek berusia 23 tahun berjaya ditahan polis.

Dadah ditemui disimpan dalam bekas gula getah. Gambar SNT/Ihsan IPD Kunak

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata Operasi Sarang berkenaan dijalankan oleh sepasukan 13 anggota dan seorang pegawai.

Beliau berkata hasil maklumat yang diperoleh pihaknya menjalankan serbuan di sebuah rumah kongsi yang didiami suspek di ladang berkenaan.

“Suspek yang tinggal di dalam rumah berkenaan enggan membuka pintu rumah hingga mengakibatkan anggota polis terpaksa memecahkan pintu rumah terbabit.

Suspek berusia 23 tahun ditahan disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.5 gram bernilai RM850. Gambar SNT/ Ihsan IPD Kunak

“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan mendapati suspek menyembunyikan sembilan peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 5.5 gram bernilai RM850 dan 10 kertas timah di dalam bekas gula-gula” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata hasil siasatan mendapati suspek adalah pengedar dadah di sekitar ladang daerah Kunak.

“Suspek juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Indonesia.

“Suspek ditahan dan barangan dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959,” jelasnya. – SabahNewsToday