Pilih Bahasa

Kapal dagang terkandas di perairan Kudat

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Sebuah kapal dagang terkandas di perairan Pulau Kalampunian, dekat sini, selepas mengalami kerosakan pada peralatan navigasi, pagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu jam 5.10 pagi itu, sebuah bot ronda dikerah bagi membuat pemantauan lebih lanjut di kawasan kejadian.

Anggota Maritim Malaysia Kudat menjalankan pemantauan ke atas kapal yang terkandas di perairan Kudat. Gambar SNT/Ihsan MARITIM MALAYSIA

“Hasil pemantauan mendapati tiada tumpahan minyak berlaku manakala semua kru kapal seramai 15 orang selamat dan tiada kecederaan serius.

“Maklumat awal mendapati punca kejadian disebabkan oleh peralatan navigasi kapal mengalami kerosakan,” katanya menerusi kenyataan medianya.

Kapal yang berdaftar di Kuching, Sarawak dalam pelayaran dari Sandakan menuju ke Kemaman, Terengganu.

Kapal dagang yang berdaftar di Sarawak terkandas di perairan Kudat. Gambar SNT/Ihsan MARITIM MALAYSIA

Boon Chin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Pejabat Taman-Taman Sabah.

“Kita juga difahamkan, agen kapal dagang berkenaan juga sudah membuat laporan kejadian kepada pihak Jabatan Laut Kota Kinabalu.

“Proses menunda kapal akan dilaksanakan oleh agen kapal berkenaan,” katanya. -SabahNewsToday