Pilih Bahasa

Kapal nelayan musnah terbakar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Sebuah kapal nelayan terbakar di perairan Kampung Pukat Tanah Merah, dekat sini, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.14 tengah hari.

Kapal nelayan berkenaan terbakar kira-kira 100 meter dari kawasan darat. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Seramai 18 anggota dan seorang pegawai digegaskan ke lokasi menaiki sebuah jentera penyelamat dengan jarak sejauh kira-kira lapan kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

“Kebakaran membabitkan sebuah kapal nelayan yang digunakan untuk menarik pukat terbakar yang berada kira-kira 100 meter dari darat.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi memadam api menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan bomba bertindak memadam api yang memusnahkan sebuah kapal nelayan. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Operasi terkawal pada jam 12.43 dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan. – SabahNewsToday