Pilih Bahasa

Kapal “Si Buding” jadi Pejabat Bergerak di perairan Taman Tun Mustapha

Gambar Bernama

PITAS, 25 Okt — Dalam usaha meningkatkan kawalan di Taman Tun Mustapha (TTM) di sini, Taman-Taman Sabah (TTS) bersama WWF-Malaysia mengambil inisiatif menempatkan kapal “Si Buding” untuk dijadikan sebagai Pejabat Bergerak di kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar.

Penolong Pengarah TTM Fazrullah Rizally Abdul Razak berkata kapal berkenaan telah mula beroperasi sejak beberapa bulan lalu di stesen TTM yang berperanan sebagai kapal induk kepada bot-bot peronda TTS semasa menjalankan operasi dan rondaan.

“Kapal ini akan belayar ke serata perairan TTM dan berkampung di satu-satu kawasan tertentu bagi tujuan pemantauan dan kawalan,” katanya ketika ditemui media sempena program eksplorasi bersama kapal “Si Buding”, baru-baru ini.

Beliau berkata kapal sepanjang 24.50 meter dan lebar 7.10 meter yang mengambil nama sempena ikan yu dalam bahasa tempatan penduduk daerah itu mampu memuatkan seramai 25 penumpang termasuk kru pada satu-satu masa dengan kelajuan sembilan knot.

Katanya kapal yang didaftarkan dengan nama “Rhincodon Typus” itu juga akan digunakan untuk pelbagai program komuniti, kesedaran awam dan sosialisasi TTM di pelusuk kampung dan pulau yang terdapat di TTS.

TTM diwartakan pada 19 Mei 2016, bagi tujuan memelihara kepelbagaian biologi marin, membangunkan industri perikanan mampan dan membasmi kadar kemiskinan.

Program eksplorasi bersama kapal Si Buding itu turut menyaksikan majlis pelancaran Projek Penambahbaikan Perikanan Ikan Batu Karang, Teluk Marudu TTM, bagi membantu nelayan di TTM, khususnya nelayan pesisir pantai.

Ketua Interim Program Marin WWF-Malaysia Monique Sumampouw berkata projek yang melibatkan pelbagai pihak itu menetapkan pelaksanaan empat strategi utama yang terdiri daripada tadbir urus, rangka kerja institusi, aktiviti kajian serta pematuhan.

Beliau berkata daripada empat strategi itu, ia mengandungi 22 objektif yang akan dilaksanakan bersama semua pihak berkaitan bagi mencapai perikanan lestari di kawasan berkenaan.

Rombongan media kemudiannya dibawa “Si Buding” ke salah satu tarikan baharu di TTM iaitu “floating coral bar”, yang merupakan kawasan ‘pulau’ sepanjang kira-kira lebih satu kilometer yang terhasil daripada timbunan batu karang mati, menjadikan ia bagaikan ‘pasir timbul’ yang keluasannya kelihatan amat kecil apabila air laut pasang. 

Menurut pengusaha kawasan itu Victor Tan Vui Kiong, 44, usaha memperkenalkan pasir timbul yang berada kira-kira dua jam perjalanan dari jeti Marina, Kudat itu sebagai tempat pelancongan, bermula sejak April lepas, dan ia turut mendapat kerjasama dengan komuniti Kampung Malubang.

Victor berkata komuniti di kampung itu akan menyediakan makanan untuk setiap pelancong yang hanya dihadkan kepada 70 orang pada satu-satu masa, dan ia dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang, di mana pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti riadah yang disediakan, antaranya termasuk berkayak, menyelam, selain bersantai di buaian dan makan sambil kaki berendam dalam air laut.

Media kemudiannya berpeluang meninjau sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pulau Supirak iaitu pulau berbentuk seperti kapal layar.

Pengerusi Penaja Persatuan Pelancong Supirak Pitas Moktar Amirol, 46, semasa mencerita lagenda tempat berkenaan berkata pulau itu terbentuk daripada kapal yang dipercayai milik Si Supirak, yang digunakan untuk belayar. 

Menurutnya kapal itu kemudiannya berlabuh di kawasan berkenaan, dan entah bagaimana ia kemudiannya bertukar menjadi pulau.

Beliau berkata kawasan itu antara daya tarikan pelancong ke daerah Pitas, terletak tidak jauh dari kawasan pasir timbul, dan menurutnya selain pulau Supirak, banyak lagi kawasan menarik yang boleh diketengahkan untuk pelancong yang mampu memberi manfaat kepada komuniti di Pitas.

— BERNAMA