Pilih Bahasa

Kapal terbang ‘terbangkan’ helikopter

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dikenali dengan jolokan ‘Grizzly’ dikalangan mereka dari No. 22 Skuadron, pesawat keluaran Airbus Defence and Space, A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan membawa sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Negeri Dibawah Bayu.

Pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang ini berlepas pada jam 8.30 pagi dan selamat mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 11.10 pagi.

Helikopter Super Lynx milik TLDM dimuat naik ke dalam pesawat A400M di Pangkalan Udara Subang. Gambar SNT/Ihsan Bahagian Perhubungan Awam TUDM

Dalam satu hantaran diakaun facebook rasmi TUDM malam ini, helikopter itu telah dimuat naik seawal jam 5.30 pagi di Pangkalan Udara Subang.

“Proses membawa aset udara milik TLDM ini adalah julung kali dilaksanakan oleh TUDM.

Mejar Lo (tengah) dan Kapten Erid (tiga dari kanan) bersama kuatermaster udara serta anggota dari cabang pergerakan udara bergambar selepas helikopter Super Lynx milik TLDM dimasukkan dalam A400M. Gambar SNT/Ihsan Bahagian Perhubungan Awam TUDM

“Ia tidak menjadi kesukaran buat juruterbang dan kuatermaster udara dalam melaksanakan tugasan ini. Ini kerana TUDM mempunyai pengalaman dalam mengendali penghantaran melibatkan muatan strategik TUDM dan juga satu misi bantuan kemanusiaan yang merupakan kejayaan terbesar No 22 Skuadron semasa misi ‘Humanitarian Assistance and Disaster Relief” (HADR) di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, perancangan dan persediaan yang rapi oleh anggota dari cabang ‘Air Movement’, juruterbang serta anak kapal telah membolehkan proses memasukkan helikopter TLDM itu lancar dan selamat.

Pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) selepas menurunkan helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menerusi hantaran itu juga, penerbangan kali ini membuktikan keupayaan pesawat A400M sebagai aset yang sangat diperlukan ketika ini terutama ketika negara dilanda krisis. Atur gerak pesawat udara TLDM kali ini juga adalah bukti usaha bersepadu diantara TUDM dan TLDM dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

Pesawat pengangkut A400M diberi gelaran ‘Grizzly’ oleh warga No. 22 Skuadron yang berpangkalan di Subang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sumber SabahNewsToday memaklumkan pesawat buatan Perancis itu dikendali oleh anak jati Sandakan, Mejar Lo Chee Sing “LO” dan dibantu oleh Kapten Mohamad Erid Abdul Rahim “MAV” bersama enam anak kapal.

Helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat ‘air taxing’ sebelum berlepas ke Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selepas diturunkan dari pesawat pengangkut TUDM, helikopter Super Lynx itu kemudiannya membuat persiapan terakhir sebelum berlepas terbang untuk ditempatkan di Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada jam 4.10 petang tadi. -SabahNewsToday