Pilih Bahasa

Karim: Khidmat terbaik buat rakyat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Karim Bujang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

BEAUFORT: “Sekiranya saya diberikan peluang untuk berkhidmat di Parlimen Kimanis, saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat,” akui calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.

Beliau berkata pengalaman sebagai wakil rakyat selama lima penggal sebelum ini banyak membantunya mendekati rakyat.

“Jika rakyat memberikan saya kepercayaan dalam PRK ini, saya akan memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat khususnys di Parlimen Kimanis.

“Memang dahulu saya biasa menjadi Adun dan saya tahu apa yang perlu ada bagi seseorang wakil rakyat itu,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, hari ini.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Dalam pilihan raya kecil ini, Karim, 68, akan ditentang oleh calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013 itu juga pernah menjawat Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Namun pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Karim tewas dengan majoriti 156 undi kepada bekas Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. – SabahNewsToday