Pilih Bahasa

Karnival CIP bantu salur maklumat tepat kepada masyarakat

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penganjuran Karnival Create, Innovate, Produce (CIP) dengan pameran berkaitan amalan terbaik Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan inovasi boleh membantu menyalur maklumat tepat kepada masyarakat.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata pendekatan yang diambil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu ini adalah langkah bijak.

Jenifer menyampaikan hadiah kepada pemenang booth terbaik Karnival CIP 2019. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Pada saya, ini adalah suatu pendekatan terbaik dan saya amat mengalu-alukan program-program seumpama ini kerana dalam ruangan inilah komuniti luar sekolah mendapat maklumat yang tepat daripada pegawai-pegawai pameran yang bertugas,” katanya.

Dr Yusof berkata program tersebut merupakan satu nilai tambah kepada guru-guru dan juga merupakan satu simbol yang komprehensif dalam mencabar dan memotivasikan warga guru pemimpin instruksional di sekolah.

Ianya selaras dengan hasrat murni Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjayakan NKRA dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kata Dr Yusof dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Karnival CIP anjuran PPD Kota Kinabalu di Oceanus hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Jenifer Lasimbang.
  
Selain itu, katanya penyertaan  dan  suntikan  positif  daripada  semua  pihak  di  pelbagai  peringkat  amatlah penting  untuk membolehkan diversiti proses berlaku dalam pendidikan. 

Jenifer (tengah) membuat gimik perasmian Majlis Apresiasi dan Penutupan Karnival CIP di Oceanus Waterfront Mall di sini hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Beliau yakin dengan adanya jaringan kerjasama serta pelibatan ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan,  agensi  swasta,  NGO,  komuniti  setempat  dan  masyarakat  global impian dan harapan untuk merakyatkan pendidikan dapat direalisasikan; sekali gus kualiti modal insan yang dihasilkan dapat ditingkatkan. 

Dr Yusof menegaskan pendidikan memainkan peranan utama dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara.

“Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah merupakan petunjuk utama yang dapat mengukur dengan tepat kemajuan masa hadapan negara. 

“Oleh yang demikian, dalam menghadapi persaingan ekonomi global pada masa kini, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyat adalah tiga resepi terpenting bagi merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

“Saya amat berharap agar kebolehan dan keupayaan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi yang dimanifestasikan melalui karnival CIP ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas rutin di sekolah,” katanya.

Sebanyak 73 sekolah dari sekitar bandaraya menyertai Karnival CIP.

Selepas itu upacara penyampaian anugerah kepada sekolah-sekolah pencapaian terbaik bagi tahun 2018.

Sementara itu, Jennifer diiringi oleh PPD Kota Kinabalu Umin Sadi menyampaikan hadiah kepada para pemenang booth terbaik.-SabahNewsToday