Pilih Bahasa

Karnival Pekerjaan EIS Perkeso bantu atasi pengangguran di Sabah: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menyerahkan replika cek kepada salah seorang penerima Perkeso, sambil diperhatikan oleh Dr Mohamed Azman (kanan). – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Penganjuran Karnival Pekerjaan EIS (Akta Sistem Insurans Pekerjaan) Perkeso Negeri Sabah 2019 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat sokongan kerajaan negeri untuk membantu penganggur mendapatkan peluang pekerjaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh para majikan dalam karnival itu lebih memudahkan golongan sasaran memilih bidang bersesuaian dengan kelulusan serta kemahiran masing-masing.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penganjuran Karnival Perkerjaan EIS Perkeso ini apatah lagi ketika Sabah berdepan dengan masalah pengangguran yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Walaupun kadar pengangguran di Sabah kekal pada 5.6 peratus bagi tahun 2017 dan 2018, bilangan penganggur telah meningkat lebih 5,000 orang pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.

“Oleh itu karnival ini secara tidak langsung mampu mengurangkan kadar pengangguran terutama bagi lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian Karnival Pekerjaan EIS Perkeso Negeri Sabah 2019 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed; Ketua Pejabat EIS Perkeso, Datuk Mohd Sahar Darusman dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPMS), Datuk Mohd Hasnol Ayub.

Buat julung kalinya Perkeso menganjurkan Karnival Pekerjaan EIS di Sabah juga yang pertama di wilayah Borneo ini dengan Kota Kinabalu adalah lokasi keempat dalam siri jelajah karnival kerjaya anjuran Perkeso sepanjang tahun ini.

Hasil kejayaan di tiga lokasi terdahulu iaitu Kuala Lumpur, Alor Setar dan Kangar, penganjuran karnival kerjaya ini diperkembangkan lagi ke negeri di Bawah Bayu sebelum ke Sarawak pada bulan depan.

Karnival di Kota Kinabalu pada kali ini menawarkan lebih 3,000 kekosongan jawatan dengan melibatkan 24 majikan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata langkah kerajaan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang ditadbir oleh Perkeso telah banyak membantu mereka yang kehilangan mata pencarian.

“Di Sabah sehingga September lalu seramai 2,252 pekerja yang kehilangan pekerjaan telah memohon faedah SIP.

“Daripada jumlah itu seramai 1,650 telah diluluskan melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM2.93 juta. Sementara jumlah bayaran faedah SIP untuk seluruh Malaysia sepanjang tahun ini, sehingga September adalah RM71.38 juta,” katanya.

Tambah beliau lagi kerajaan negeri turut menyambut baik langkah memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 18 sektor tidak formal lain.

Kata Mohd Shafie usaha itu sudah tentunya akan memanfaatkan lebih ramai pekerja yang bekerja sendiri, tambahan pula majoriti masyarakat Sabah adalah petani, peniaga dan terlibat dalam sektor pelancongan. – SabahNewsToday