Pilih Bahasa

Karnival Pendidikan dan Kerja tiga hari bermula 3 Mei

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi dengan kerjasama Yayasan Sabah akan mengadakan Karnival Pendidikan dan Kerjaya 2019 pada 3 Mei.

Menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob berkata program selama tiga hari itu akan diadakan di perkarangan Yayasan Sabah dengan pelbagai gerai pendidikan dan kerjaya.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob pada sidang media sempena program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Negeri Sabah 2019 di Ruang Sidang Media Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Katanya kira-kira sebanyak 160 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta telah mengesahkan untuk turut serta dalam karnival tersebut.

“Selain itu, sebanyak 40 agensi atau jabatan kerajaan akan menyertai karnival dengan mengetangahkan penyampaian maklumat dan membuka peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkenaan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob pada sidang media sempena program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Negeri Sabah 2019 di Ruang Sidang Media Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam karnival tersebut juga, Yusof berkata satu majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang kepada 40 orang individu tajaan Cemerlang Negeri Sabah, 10 orang tajaan Mara, tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk 10 orang dan 10 lagi tajaan Petronas.

Yusof menegaskan bahawa kementeriannya mengambil berat akan pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita akan tawarkan biasiswa dan ini janji kita untuk memastikan pelajar-pelajar ini diberikan tempat untuk menyambung pelajaran .

“Dan kita telahpun berkolaborasi dengan Mara, JPA, Petronas dan agensi-agensi lain yang menawarkan biasaswa kepada pelajar-pelajar tersebut.

“Selain itu biasiswa cemerlang dan pelajar dari kategori B40 juga akan ditaja oleh kerjaan,” katanya.

Tambahnya kerajaan juga mewujudkan program khas iaitu melatih anak muda yang berasal dari kalangan keluarga miskin tegar.

Jelasnya, tahun ini, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 300 tempat untuk anak-anak miskin tegar untuk mendapat latihan mengikut kelulusan yang mereka perolahi.

“Tidak semestinya mereka yang cemerlang sahaja diberi perhatian, tujuan kita adakan program seumpama ini adalah untuk mengeluarkan mereka daripada miskin tegar,” jelasnya.

Sementara itu, katanya permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) juga akan dibuka sepanjang karnival berkenaan berlangsung

Menurutnya walaupun tarikh permohonan BKNS akan tamat pada 24 April, individu yang terlepas untuk membuat permohonan boleh berbuat sedemikian pada 3 Mei hingga 5 Mei.

Dalam perkembangan lain, kementeriannya juga mengadakan satu program khas bantuan ‘one off’ kepada 100 orang individu yang mendapat tawaran masuk ke universiti.

“Setiap individu ini akan menerima bantuan sejumlah RM1,000,” jelasnya. -SabahNewsToday