Pilih Bahasa

Karnival Pendidikan dan Kerjaya Sabah dari 3-5 Mei

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi serta Yayasan Sabah akan menganjurkan Karnival Pendidikan dan Kerjaya negeri Sabah dari 3 hingga 5 Mei, 2019 bertempat di perkarangan  Menara Tun Mustapha dan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Dr Mingu Jumaan berkata pelbagai acara akan diadakan sepanjang tiga hari itu.

Setiuasah Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Dr Mingu Jumaan. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Antaranya pameran Kerjaya dan Temuduga Terbuka dimana mereka yang berjaya dalam temuduga tersebut akan diberikan surat tawaran serta merta.

Selain itu kaunter pembelian pin dan permohonan biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan juga biasiswa Yayasan Sabah akan dibuka.

Bagi pelajar lepasan SPM dan STPM pula mereka berpeluang memanfaatkan kaunter pameran dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Dr Mingu juga pengerusi penganjur program itu berkata karnival itu juga akan diisi dengan seminar dan dialog.

“Program ini turut mengadakan Seminar Kaunseling Islam, Matematik, Perubatan dan Homeopathy serta dialog bersama penaja-penaja  biasiswa dan pinjaman seperti PTPTN, JPN, Yayasan Sabah, Mara, Petronas dan lain-lain,” katanya

Beliau juga memberitahu bahawa Yayasan Sabah akan memberikan rebat sebanyak 30 peratus dan pengampunan kepada peminjam Yayasan Sabah berurusan di kaunter pembayaran pada hari carnival itu nanti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka akan merasmikan karnival tersebut esok.

Majlis penutupan pula akan disempurnakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabaha Datuk Dr Yusof Yacob.

Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan dan artis jemputan seperti Ameng Spring, Zack Budak Kacamata, Naqui Boboy, Den Bisa, Dino dan ramai Lagi.

Di Mini Konti RTM pula pengunjung boleh menyertai sesi uji bakat menjadi pengacara, pembaca berita atau menyanyi dan berlakon.

Pihak penganjur juga menyediakan hadiah-hadiah untuk pengunjung bertuah seperti tiket penerbangan, televisyen, peti sejuk, barangan elektrik, hamper dan tablet.-SabahNewsToday