Pilih Bahasa

Kastam Labuan rampas minuman keras bernilai RM1.95 juta dalam tujuh kontena

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan merampas tujuh kontena berisi minuman keras dianggarkan bernilai RM1.95 juta di kawasan penyimpanan kontena Pelabuhan Merdeka, di sini, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata berdasarkan maklumat, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas tujuh kontena di kawasan berkenaan.

Minuman keras bernilai RM1.95 juta dalam tujuh kontena dirampas oleh Kastam Labuan. Gambar SNT/Ihsan JDKM

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 124,175 liter minuman keras bernilai RM595,380 dengan jumlah cukai RM1.95 juta.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu diisytiharkan sebagai ‘Drilling Equipment’ dan ‘Lubricating Oil’,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, semua barangan itu disyaki cuba diseludup dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya. – SabahNewsToday