Pilih Bahasa

Kawasan eko pelancongan luar banar perlu perhatian KPLB Pusat

Oleh Sabah News Today

Rina (tengah) menyampaikan replika kunci rumah bina baru PPRT kepada salah seorang penerima, disaksikan oleh Ewon (dua dari kiri). – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Kawasan eko pelancongan luar bandar yang diusahakan komuniti kampung masih memerlukan perhatian kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas yang lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata misalnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian, daripada 74 buah kampung lebih 50 buah kampung daripadanya mengusahakan eko pelancongan komuniti yang kebanyakannya memerlukan penaiktarafan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

“Ramai pelancong dari dalam dan luar negara datang berkunjung ke pusat-pusat pelancongan Dun Kadamaian memuji keindahan serta kecantikan eko pelancongan di sini namun mereka kurang berpuas hati dengan keadaan jalan raya menuju ke kawasan eko pelancongan itu.

“Oleh itu saya telah melulusakan peruntukan menaiktaraf beberapa jalan menuju ke pusat eko pelancongan di Dun Kadamaian misalnya di Eko Pelancongan Torintidon, Togudon, Melangkap Tiong, Melangkap Noriou dan Tolungan,” katanya.

Ewon bersama Rina ketika melawat eko pelancongan Polumpung Melangkap. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Geran MPKK kepada 20 buah kampung dalam Dun Kadamaian dan Kunci Rumah Bina Baru PPRT kepada enam penerima, di Pusat Perkhidmatan Adun Kadamaian, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan Datuk Seri Rina Harun.

Terdahulu itu Rina dan rombongan meninjau jalan kampung dalam DUN Usukan, melawat Eko Pelancongan Tagal Melangkap Tiong, Eko Pelancongan Polumpung Melangkap Baru dan menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Telaga Tiub (Bekalan Air Luar  Bandar) di Loji Bayayat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Eko Pelancongan Melangkap Tiong yang diwujudkan pada tahun 2012 diusahakan oleh persatuan komuniti kampung.

“Sepanjang tahun lalu Eko Pelancongan Itu menerima hampir 60,000 orang pengunjung dengan purata kehadiran pelancong lebih 2,000 setiap bulan dan lebih 200,000 pelancong sejak pusat pelancongan itu beroperasi.

“Antara tarikan di pusat pelancongan itu ialah ikan air tawar, keindahan air terjun, aktiviti rekreasi berasaskan sungai dan aktiviti mendaki bukit,” katanya.

Ewon, Rina dan Japlin mencuba durian yang disediakan penduduk kampung di Eko Pelancongan Melangkap Tiong. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, memang ada membantu meniktaraf jalan terutamanya jalan perhubungan desa menuju kawasan pusat pelancongan dan menyediakan ameniti sosial yang lain.

“Kita bangga kerana walaupun tanpa bantuan kerajaan namun komuniti kampung sendiri bertungkus lumus dan berusaha membangunkan pelancongan di kawasan masing-masing. Oleh itu sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya akan berusaha sedaya upaya membantu menyediakan kemudahan yang diperlukan komuniti kampung,” katanya.

Ewon berkata, selain fokus kepada eko pelancongan luar bandar, kementeriannya juga akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan luar bandar terutmanya di kawasan Kadamaian.

“Di kawasan Kadamaian sahaja, 39 buah daripada 74 buah kampung masih bergantung kepada bekalan air graviti dan kita akan berusaha menyediakan bekalan air bersih terawat kepada penduduk kampung,” katanya.

Sehubungan itu katanya KPLB Persekutuan telah meluluskan peruntukan  RM9 juta untuk membina sebuah telaga air (Bekalan Air Luar Bandar) di Loji Bayayat untuk kegunaan penduduk DUN Kadmaian.

“Kita juga berterima kasih kepada Datuk Rina Harun yang telah meluluskan peruntukan menaiktaraf jalan perhubungan desa menuju ke eko pelancongan Kaung Melaan sebanyak RM200,000, Jalan Ke Kampung Pinolobu RM200,000 dan Pusat Komuniti Desa Kg Malangkap Baru sebanyak RM450,000,” katanya.

Rina turut mengumumkan peruntukan untuk menaikataf jalan Mandap-Doluo-Pirasan Kota Belud dengan kos sebanyak RM55 juta yang kini dalam proses rekabentuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Dumi Pangiran Masdal; Setiausaha Tetap, Fredian Gan; Adun Usukan Datuk Japlin Akim, Pegawai Daerah Kota Belud Diyannah Abdullah dan para pemimpin setempat. – SabahNewsToday