Pilih Bahasa

KBS laksana misi pertingkat prestasi Saga

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah akan melakukan post mortem untuk memperbaiki aspek penganjuran Sukan Sabah (Saga) pada masa akan datang.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata ini bagi memastikan misi penganjuran kejohanan dwitahunan itu untuk mencungkil bakat muda tempatan dalam bidang sukan mencapai matlamatnya.

Jin Zhe (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Olahragawan Saga IX kepada Steven Lee Vui Lin, 17, dari Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Menurut beliau hasil post mortem itu boleh digunakan sebagai satu garis panduan untuk penilaian kementeriannya dalam menghantar mana-mana atlet mewakili Sabah ke Sukan Malaysia (Sukma) atau kejohanan luar negara.

“Saya berpuas hati dengan penganjuran Saga kali ni, namun demikian sudah tentu ada kelemahan dan kekangan sepanjang penganjuran seperti penyediaan penginapan selain gelanggang atau venue yang belum dapat disempurnakan.

Jin Zhe (dua dari kiri) menyampaikan piala juara keseluruhan kepada wakil kontinjen Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Bagaimanapun terima kasih kepada jawatankuasa induk dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di daerah masing-masing kerana dapat melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu Jin Zhe merasmikan penutupan Saga IX 2019 di Kompleks Sukan Keningau.

Dalam majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah Olahragawan dan Olahragawati Saga IX kepada Steven Lee Vui Lin, 17, dari Tawau dan Kaitlyn Hannah Sernam, 14, dari Kota Kinabalu.

Steven, meraih empat pingat emas dan satu perak dalam acara berbasikal manakala Kaitlyn meraih tiga emas termasuk memecahkan satu rekod kejohahan Saga IX tahun ini.

Dalam ucapannya beliau berkata selaku menteri yang bertanggungjawab kepada kemajuan sukan di Sabah, beliau amat berharap agar pencapaian atlet Saga IX perlu dipertingkatkan demi memartabatkan Sabah sebagai ‘Sport powerhouse’ di Malaysia.

Jelas beliau lagi pihaknya juga amat berbangga dengan seorang atlet kelahiran Keningau yang melakar kecemerlangan dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

“Saya menyeru kepada atlet-atlet yang terpilih agar melipatgandakan latihan dan komitmen untuk menyerlah dalam temasya tersebut.

“Semoga dengan kesungguhan adik-adik, pencapaian kita di Sukma Ke-21 Johor 2020 nanti akan melakar sejarah terbaik kegemilangan Kontinjen Negeri Sabah sekaligus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah,” katanya. – SabahNewsToday