Pilih Bahasa

KBS laksana Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2020-2030 tahun depan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan melaksanakan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2020-2030 bermula tahun depan.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata pelan strategik itu akan dilaksanakan dengan sistematik untuk menggembalikan kegemilangan Sabah sebagai kuasa besar sukan di Malaysia.

Pertunjukan bunga api sempena perasmian Saga IX di Keningau semalam. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Sabah memiliki ramai atlet berpotensi dan bakat besar mereka perlu dicungkil seterusnya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk menunaikan tanggungjawab itulah, KBS mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2020 – 2030 yang bersifat menyeluruh,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena perasmian Sukan Sabah (Saga) IX di Kompleks Sukan Keningau.

Obor kejohanan Saga IX dinyalakan. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyempurnakan acara perasmian Saga IX, semalam.

Dalam pada itu Jin Zhe berkata kerajaan negeri melalui kementeriannya sentiasa memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya termasuk memberikan imbuhan atau ganjaran berdasarkan prestasi kepada persatuan sukan atau atlet cemerlang di negeri ini.

Tarian kebudayaan antara program penyeri majlis perasmian Saga IX semalam. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Katanya sokongan dan bantuan itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong usaha atlet-atlet Sabah mencapai prestasi terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu beliau mahu para atlet tempatan menggunakan sepenuhnya kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan dalam mempertingkatkan prestasi masing-masing.

Upacara menaikkan bendera Kejohanan. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Mengenai penganjuran Saga, beliau berkata ia merupakan satu usaha kerajaan untuk mengetengahkan bakat dalam kalangan atlet peringkat akar umbi.

Sehubungan itu beliau mahu para atlet yang menyertai kejohanan itu agar menggunakan sepenuhnya Saga sebagai medan terbaik mengilap bakat mereka dalam bidang sukan. – SabahNewsToday