Pilih Bahasa

KBS pantau semua stadium Sabah, tinjau permasalahan dialami

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat jelajah bermula hari ini sehingga 23 Jun untuk melawat kesemua 16 stadium seluruh negeri.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata ia adalah bagi memahami dan meninjau permasalahan yang terdapat di setiap stadium mahupun kompleks sukan.

Phoong (dua kanan) turut melawat kolam renang yang terdapat di Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ini adalah penting bagi saya selaku Menteri Belia dan Sukan baharu, kerana kalau kita lihat sememangnya terdapat banyak keadaan yang sangat tidak memuaskan terutamanya fasiliti sukan ini.

“Kita sedaya upaya akan bersama dengan pasukan baharu bersaam dengan Lembaga Sukan Negeri Sabah bertungkus lumus untuk menambah baik keadaan ini.

“Kita sudah ada perancangan untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi mempertingkatkan kemudahan-kemudahan sukan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan pertamanya ke Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Tambahnya, KBS bukan sahaja mahukan kemudahan-kemudahan terbaik tetapi juga mahu mempertingkatkan prestasi atlit negeri dan membawa nama Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya rasa, untuk mengembalikan kegemilangan Sabah, kita kena ada fasiliti terbaik.

“Kerana atlit-atlit ini berhak mendapatkan fasiliti sukan terbaik untuk mereka menjalankan latihan.

“Oleh itu, saha mahu mendengar semua masalah berkenaan sukan dan juga belia. Ini membantu saya untuk memahami dan bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi ini,” jelasnya. -SabahNewsToday