Pilih Bahasa

KBS sasar 20,000 peserta FitMalaysia di Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Arunarnsin (empat dari kiri) bersama Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Amrullah Kamal (lima dari kiri) bergambar selepas sidang media penganjuran Program FitMalaysia pada 3 dan 4 Ogos, di Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dianggarkan seramai 20,000 orang bakal menyertai Program FitMalaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang akan diadakan di daerah ini pada 3 dan 4 Ogos depan. 

Pelbagai aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program itu berlangsung antaranya Fun Run 5KM, Family Fun Walk 3KM, Fun Ride 10KM, dan 20KM serta pelbagai lagi sukan tradisional. 

Lebih menarik lagi, FitMalaysia turut membuka penyertaan kepada golongan belia yang berminat dengan aktiviti berbentuk e-sports seperti pertandingan PUBG, FIFA PS4, Tekken PS4. 

Setakat ini seramai 7,098 orang sudah mendaftar untuk menyertai program FitMalaysia manakala 128 orang daripadanya bakal berentap dalam pertandingan PUBG. 

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib berkata program ini hanya membabitkan lima negeri iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Johor. 

Katanya pelaksanaan program ini sudah diadakan sebanyak dua kali di negeri sabah iaitu pada tahun 2014 di Kota Kinabalu dan 2016 di Sandakan. 

“Penganjuran pada kali ini, kita memilih daerah Tawau sebagai tuan rumah dan saya amat yakin program ini dapat menarik penyertaan yang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

“Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan program pada kali ini mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan KBS iaitu seramai 20,000 peserta,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media berkenaan penganjuran program FitMalaysia, di Bilik Mesyuarat Majlis Perbandaran Tawau (MPT), hari ini. 

Orang ramai yang berminat boleh mengisi permohonan melalui muat turun aplikasi android http://bit.ly/jomrun atau Iphone http://bit.ly/jomrumios. Penyertaan secara manual juga boleh dilakukan di MPT. 

Tidak ada sebarang yuran dikenakan dan sebanyak 10,000 unit medal disediakan bagi penyertaan aktiviti utama berserta sijil digital. – SabahNewsToday