Pilih Bahasa

KBS sokong penganjuran Sutera Harbour 7K Charity Run

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Jin Zhe (empat dari kanan) menunjukkan baju kemeja t serta poster Sutera Harbour 7K Charity Run sempena kunjungan hormat delegasi Sutera Harbour Resort di pejabatnya di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Sutera Harbour Resort

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah menyambut baik penganjuran program Sutera Harbour 7K Charity Run.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata aktiviti seumpama itu adalah salah satu usaha bagi mengajak orang awam di negeri berkenaan mengamalkan gaya hidup sihat selain membantu golongan memerlukan.

“Penyertaan kita dalam aktiviti ini boleh membantu kita kekal stamina selain mampu beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Selain dapat tubuh badan sihat, kita juga secara tidak langsung membantu persatuan atau badan amal kerana yuran penyertaan bakal disumbangkan kepada pihak yang sudah dipilih oleh penganjur,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi Sutera Harbour Resort di pejabatnya, semalam.

Delegasi berkenaan diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour Resort, Gerard Tan.

Dalam pada itu, Phoong menyatakan beliau sendiri bersama lebih 100 kakitangan KBS Sabah, National Youth Consultative Council (MPBN) and Sabah Youth Council (MBS) akan turut serta dalam larian yang dijangka bermula pada jam 5 pagi itu.

Memasuki penganjuran kali ke 19, acara larian terbabit dijangka bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, esok (27 Julai).

Semua hasil kutipan Sutera Harbour 7K Charity Run bakal diserahkan kepada Talasemia Sabah Society and Special Olympics Sabah.

Sementara itu, Phoong meminta orang awam terutamanya panduduk sekitar bandar raya menyokong dan menyertai acara larian terbabit yang boleh memberikan manfaat kepada semua pihak. – SabahNews Today