Pilih Bahasa

KBS usaha lahirkan jurulatih tempatan bertaraf dunia

Oleh Sabah News Today

Yusrie (tiga kanan) menyampaikan sijil penyertaan Kursus Sains Sukan Tahap II SPKK 2019 kepada ketua peserta Isidore Amin di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS. – Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan negeri (KBS) berusaha mengurangkan kebergantungan khidmat jurulatih luar negara kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.

Setiausaha Tetapnya, Mohd Yusrie Abdullah berkata kebergantungan terhadap jurulatih luar negara untuk jangka masa panjang sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada negeri ini.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita melahirkan jurulatih-jurulatih tempatan yang berkelas dunia,” katanya dalam majlis penutupan Kursus Sains Sukan Tahap II, Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) 2019 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Kursus enam hari di bawah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) itu dianjurkan oleh Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.

Pada masa kini jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman amat diperlukan dalam mengendalikan pelbagai program latihan di setiap peringkat, terutama sekali di peringkat sekolah.

Yusrie berkata kursus seumpama ini amat penting dan merupakan satu platform terbaik untuk memartabatkan kecemerlangan sukan negara kerana penganjurannya amat berguna untuk melatih, melengkap dan meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam bidang sains sukan.

Yusrie (tengah) bersama pegawai dan para peserta Kursus Sains Sukan Tahap II SPKK 2019 merakamkan kenangan selepas majlis penutupan di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS. – Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Jelasnya melalui kursus itu juga akan memberi pendedahan bagaimana ilmu sains sukan itu dapat memaju dan meningkatkan lagi prestasi serta pencapaian sukan negara.

“Saya dimaklumkan bahawa penganjuran kursus kali ini disertai seramai 41 peserta dari seluruh negeri Sabah, yang mana terdiri dari tujuh peserta guru sekolah, 27 peserta dari pelbagai bidang, enam jurulatih lantikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Pelapis serta, seorang Jurulatih Istimewa (OKU).

“Saya berasa sukacita kerana penyertaan sebegini ramai menunjukkan petanda baik pada industri sukan kita yang semakin berkembang dari masa ke semasa, seiring dengan perkembangan pesat dunia sukan pada masa kini,” katanya.

Beliau berharap setiap ilmu pengetahuan yang diperoleh dari kursus berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaaan untuk melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan yang berani membuat perubahan.

Tambah beliau lagi perubahan yang dimaksudkan ialah mengaplikasi ilmu yang diperoleh daripada kursus itu ke dalam program melatih harian dan seterusnya mampu melahirkan lebih ramai atlet yang berjaya bertaraf antarabangsa.

Katanya penyertaan atlet angkat berat negara dari Sabah, Aricco Jumitih, yang merupakan pemenang pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 menunjukkan bahawa bekas-bekas atlet kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia turut berpeluang menabur bakti sebagai jurulatih profesional menerusi penyertaan kursus-kursus seperti ini.

“Saya percaya penyertaan bekas atlet kebangsaan seperti Aricco dalam kursus sebegini mampu menjadi motivasi kepada bekas-bekas atlet negara yang lain untuk meningkatkan pengetahuan ke tahap lebih tinggi selain mengukuhkan kerjaya selepas bergelar atlet.

“Pengalaman yang dimiliki bekas atlet kebangsaan sangat berharga dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya menerusi pembelajaran profesional yang pastinya akan memberi impak yang besar dalam pembangunan sukan,” katanya.

Katanya kementerian melalui MSN Sabah sentiasa prihatin dan bekerja keras dalam meningkatkan pengetahuan jurulatih seiring dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang kejurulatihan.

Pembangunan kejurulatihan khususnya merujuk aspek sains sukan, teknologi sukan dan perubatan sukan, dilihat memainkan peranan yang begitu penting dan telah terbukti melahirkan atlet berkalibar dan bertaraf dunia.

“Sudah tentu, setiap elemen yang dipelajari ini saling berkaitan dan untuk mencipta seorang atlet elit, setiap elemen ini tidak boleh kurang, sebaliknya perlu berada pada penerapan dan pelaksanaan sempurna,” jelas beliau.

“Perlu diingatkan juga, aspek dispilin harus sentiasa menjadi keutamaan dalam pembentukkan atlet. Sehebat mana pun atlet itu, jika `dia’ tidak berdisplin, pasti sukar untuk kita membawa `dia’ bersama pasukan negeri. Ini kerana, kita tidak mahu umpama` kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, yang bermaksud kita tidak mahu atlet tidak berdisiplin yang akan merosakkan keseluruhan pasukan.

“Merujuk isu politik dalam persatuan, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut kapasti dan bidang kuasa Kementerian terhadap mana-mana persatuan atau pegawai dalam persatuan yang memainkan politik berpersatuan sehingga menyebabkan persatuan tidak teratur ataupun pilih-kasih dalam pemilihan atlet.

“Sejajar itu, marilah kita berganding bahu, berkongsi pengalaman dan pengetahunan untuk bersama-sama kita mengangkat martabat dan keupayaan sukan negeri Sabah yang kita cintai ini khususnya dalam mencapai keputusan dan kedudukan yang lebih baik di Sukan Malaysia (Sukma),” katanya. – SabahNewsToday